Jawatankuasa Pemilihan PPBM didakwa umum calon tewas sebagai pemenang di Bahagian Hulu Langat

Team Wawasan yang mendakwa mereka memenangi majoriti kerusi utama dalam PPBM Bahagian Hulu Langat, mahu pengerusi JPP pusat dan negeri bertanggungjawab ke atas dakwaan membabitkan perubahan keputusan rasmi pemilihan parti itu.

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PPBM didakwa mengumumkan calon tewas dalam pemilihan parti itu di Bahagian Hulu Langat sebagai pemenang pada Jumaat lalu.

PPBM Bahagian Hulu Langat mengadakan persidangan cawangan dan pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) Bahagian pada 19 Julai lalu, di mana keputusannya diumumkan di pusat penjumlahan undi di Beranang pada malam itu. Sebanyak 15 daripada 21 cawangan mengadakan persidangan pada hari sama.

Kumpulan calon yang dikenali sebagai “Team Wawasan Hulu Langat” mendakwa mereka memenangi 7 cawangan, Team Perdana memenangi 5 cawangan dan Hulu Langat Bersatu 3 cawangan.

Team Wawasan berkata, JPP gagal menjelaskan perubahan keputusan rasmi itu dan mendakwa ia seolah-olah melepas tangan dengan menyatakan keputusan mereka muktamad serta tidak boleh dipinda.

Mereka turut mendakwa keadaan sama berlaku dalam pemilihan PPBM Cawangan Dusun Tua dan Kampung Tanjong selepas JPP membatalkan persidangan 2 cawangan itu tanpa alasan kukuh dan tidak memanggil ahli jawatankuasanya (AJK) untuk memberi keterangan atau membela diri.

“Justeru, kami beranggapan ada unsur-unsur sabotaj dan tangan ghaib individu atau kumpulan tertentu yang cuba mengubah keputusan dan mengkhianati mandat ahli,” kata mereka dalam satu kenyataan.

“Keputusan JPP ini amat tidak bertanggungjawab. Tindakan sedemikian merupakan pengkhianatan kepada kebebasan hak ahli akar umbi untuk memilih pemimpin mereka yang tertakluk dalam perlembagaan PPBM.”

Dalam kenyataan itu, disenaraikan calon yang dikatakan memenangi pemilihan PPBM Bahagian Hulu Langat, iaitu Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad (ketua bahagian), Safrizal Mirni Rani (timbalan ketua bahagian), Mohamad Hisham Mashod (AJK bahagian), Yasser Zulkefli (ketua Pemuda bahagian), Nurizam Ramli (ketua Wanita bahagian) dan Nuraszlin Rusli (naib ketua Wanita bahagian).

Team Wawasan yang mendakwa mereka memenangi majoriti kerusi utama dalam PPBM Bahagian Hulu Langat kesal dengan tindakan JPP kerana perjuangan mereka bukan untuk jawatan atau pangkat, namun demi membela hak ahli.

Mereka bertekad mempertahankan hak termaktub dalam perlembagaan parti dan prinsip keadilan yang menjadi objektif utama penubuhan PPBM.

Katanya, slogan beramanah dan bermaruah PPBM sekadar laungan kosong, jika JPP bertindak membelakangkan parti.

Mereka mahu pengerusi JPP pusat dan negeri bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kejadian itu.

“Janganlah jadikan parti ini milik individu tertentu atau kumpulan-kumpulan tertentu sahaja. Jika ini tidak ditangani, saya percaya ramai lagi ahli akan hilang keyakinan kepada pentadbiran parti.

“Perjuangan parti inilah yang menyebabkan rakyat bersama, penyelewangan akan menjadi asbab yang melemahkan parti.

“Keadilan perlu ditegakkan, hak ahli akar umbi perlu diperjuangkan. Kami menuntut pengadilan sewajarnya.”