Kerajaan sedang muktamad laluan, stesen ECRL dari Mentakab ke Pelabuhan Klang

Projek ECRL disambung semula pada 12 April 2019 dan dijadualkan siap pada Disember 2026.

PETALING JAYA: Kerajaan sedang memuktamadkan laluan dan stesen di jajaran Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang bagi projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sebelum memulakan proses pengambilalihan tanah, kata Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong.

Katanya, mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara yang dihadiri ketua menteri dan menteri besar negeri terbabit dalam projek itu pada 11 Jun lalu memutuskan perkara itu dirujuk semula kepada Kementerian Pengangkutan dan ketua setiausaha negara untuk membuat pelarasan.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mengambil kira kekangan dan beberapa isu teknikal yang harus diatasi.

“Ketika ini, kita kena kenal pasti implikasi kos dan penyelesaian terbaik yang menguntungkan rakyat kerana ECRL ini bergantung kepada 30% penumpang dan 70% kargo,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang bertanya jika kerajaan mengambil kira pandangan awam dan golongan profesional sebelum mengambil keputusan mengubah jajaran ECRL.

Beliau juga ingin tahu kos pengambilalihan tanah di jajaran terbabit.

Projek ECRL terbahagi kepada 3 seksyen, iaitu Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun, Seksyen B dari Dungun ke Mentakab dan Seksyen C Mentakab ke Pelabuhan Klang.

Terdahulu, Jalaluddin meminta kerajaan menyatakan adakah terdapat sebarang perubahan yang akan berlaku terhadap jajaran ECRL seperti yang diumumkan kerajaan PH sebelum ini.

Projek ECRL sepanjang 640km itu disambung semula selepas perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd dimeterai pada 12 April 2019 membabitkan pengurangan kos projek RM21.5 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion.

Dijadualkan siap pada Disember 2026, ECRL yang menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya dijangka dapat menjadikan perjalanan antara Kota Bharu dan Putrajaya kira-kira 4 jam dengan kelajuan 160km/j bagi kereta api penumpang.

Awal bulan lalu, Putrajaya dilaporkan sedang membincangkan kemungkinan mengembalikan jajaran projek ECRL kepada cadangan asal di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang akan melalui Kelantan, Terengganu dan Pahang, Selangor melalui Gombak dan Serendah serta Pelabuhan Klang.

Pakatan Harapan sebelum itu mengubah laluan itu dengan tidak melalui Bentong dan Gombak, sebaliknya ia akan melalui Kuala Klawang, Jelebu dan Nilai di Negeri Sembilan sebelum ke Pelabuhan Klang.