Pukul pengawal keselamatan: Seorang warga Nepal ditahan

Pada 31 Julai lepas, video berdurasi 44 saat tular di media sosial memaparkan insiden seorang lelaki menampar dan memukul seorang pengawal keselamatan yang dipercayai warga asing dengan sebatang kayu.

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki warganegara Nepal yang disyaki terbabit dalam video tular memaparkan insiden seorang pengawal keselamatan dipukul di tempat letak kereta di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Polis Wangsa Maju, Rajab Ahad Ismail berkata, suspek akan direman esok bagi siasatan lanjut.

“Polis menahan warga Nepal itu berpandukan maklumat awam dan hasil kerjasama dengan pihak kedutaan Nepal.

“Warga Nepal itu seorang lelaki berumur 34 tahun kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rajab berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara hingga 3 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana 2 daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Pada 31 Julai, video berdurasi 44 saat tular di media sosial memaparkan insiden seorang lelaki menampar dan memukul seorang pengawal keselamatan yang dipercayai warga asing dengan sebatang kayu.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, sekali gus mengesan mangsa dan suspek yang identitinya sudah dikenal pasti.

Siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Madrasah, Wangsa Maju, pada 7 Julai.

Dalam pada itu, Rajab berkata, polis Wangsa Maju masih mengesan mangsa kejadian dan menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat supaya segera tampil untuk membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi, Pegawai Penyiasat Kes, Shahrul Azzuan Sharom di talian 016-2014334 dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju, ASP M Hussin Sollehuddin Zolkifly di talian 017-2446363.

“Atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana- mana Balai Polis berhampiran,” katanya.