RM4.763 bilion bayaran balik GST belum selesai

Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah berkata kerajaan memberi jaminan bayaran balik tuntutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dibuat segera dan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih mempunyai baki bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) tertunda sebanyak RM4.763 bilion, kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.

Shahar berkata, antara kekakangan pembayaran balik tuntutan GST itu termasuk maklumat bank pendaftar dan tiada maklum balas daripada pendaftar untuk proses pengesahan dokumen berkaitan.

Katanya, bagi tempoh 22 Jun hingga 8 Julai lalu, sebanyak RM1.479 bilion bayaran balik GST sudah dituntut dan diproses oleh kerajaan, selain tuntutan tambahan sebanyak RM9 bilion oleh pemilik perniagaan.

“Kerajaan memberi jaminan bayaran balik tuntutan GST ini dibuat segera dan selewat-lewatnya akhir tahun ini,” katanya.

Pada 15 Jun lalu, Kementerian Kewangan melalui Jabatan Kastam dalam kenyataan media akan memastikan pembayaran balik GST yang tertangguh dipercepatkan.

Menterinya Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Jabatan Kastam diarahkan untuk mempercepatkan proses bayaran balik GST yang tertangguh sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).