Tengku Zafrul pertahan “penyelesaian lebih baik” dengan Goldman Sachs

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penyelesaian terbaru dengan Goldman Sachs bermakna Malaysia akan memperoleh lebih banyak wang tunai dan jaminan aset lebih tinggi.

PETALING JAYA: Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mempertahankan penyelesaian yang dicapai antara Putrajaya dengan Goldman Sachs berhubung transaksi bon yang diatur oleh bank pelaburan antarabangsa itu bagi 1MDB dengan menyifatkannya sebagai “penyelesaian yang jauh lebih baik”.

Zafrul memberitahu The Edge bahawa Goldman sebelum ini menawarkan penyelesaian sebanyak AS$1.75 bilion sebelum ditolak cukai berjumlah AS$164 juta.

Jumlah bersih yang ditawarkan oleh bank itu kepada Malaysia hanya sebanyak AS$1.586 bilion.

Beliau berkata, ini bermakna Malaysia kini akan memperoleh lebih banyak wang tunai dan jaminan aset lebih tinggi.

“Dengan penyelesaian ini, rakyat Malaysia akan mendapat jumlah penyelesaian lebih besar berbanding jumlah yang ditawarkan sebelum ini,” katanya menurut laporan akhbar kewangan itu.

Goldman Sachs bulan lepas bersetuju untuk membayar penyelesaian berjumlah AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion).

Penyelesaian itu termasuk bayaran tunai AS$2.5 bilion dan jaminan nilai perolehan penuh sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion ke atas aset yang dikesan diselewengkan daripada perolehan 3 transaksi bon terbabit.

Pengkritik, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mendakwa kerajaan menerima penyelesaian yang kurang.

Zafrul menolak dakwaan bahawa Malaysia tidak akan memperoleh wang daripada aset atau ia akan dikembalikan juga kemudiannya dengan menegaskan bahawa penyelesaian itu bukanlah “jaminan khayalan”.

Beliau berkata, aset yang dirampas telah dijual di bawah harga asalnya dengan mengambil jet Bombardier sebagai contoh.

Jet tersebut dinilai pada harga AS$35.37 juta, tetapi akhirnya dijual pada harga AS$137,615 dan Malaysia hanya menerima sebanyak AS$136,505.