Adakah Riot melangkaui presiden SUPP?

Jayum Jawan berkata kemungkinan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sudah merestui pengumuman Riot untuk melihat reaksi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). (Gambar Bernama)

KUCHING: Seorang ahli akademik mengkritik Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Richard Riot kerana menamakan calon partinya bagi kerusi Mambong pada pilihan raya negeri akan datang.

Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia berkata, Riot melangkaui presiden parti dengan mengumumkan senarai pendeknya iaitu Andrew Victor Nub, Jimson Jium, dan Ahkim Sarok Jating.

“Dia lupa yang dia hanya timbalan presiden. Dia hanya boleh mencadangkan nama tetapi tidak boleh mengumumkannya kepada media kerana ia bertentangan dengan protokol dan dilihat seolah-olah menekan presiden parti.

“Tidak elok mendedahkan 3 nama kepada umum kerana hanya seorang akan dipilih. Mereka yang tidak terpilih akan berasa kecewa dan boleh mensabotaj calon yang dipilih,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Jawan berkata kemungkinan SUPP sudah merestui pengumuman Riot untuk melihat reaksi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Mungkin itu hanya strategi SUPP. Kenyataan Riot boleh ditarik balik kerana dia bukan pemimpin nombor 1 dalam parti,” katanya.

Jerip Susil, yang menyertai PBB selepas keluar dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) tahun lalu, adalah Adun Mambong ketika ini.

PSB serpihan SUPP

Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya mendakwa Riot cuba melobi untuk rakan-rakannya.

Beliau berkata, PPB yang memimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang dianggotai SUPP, belum membuat pengumuman rasmi mengenai perkara itu.

“Lebih elok jika Pengerusi GPS Abang Johari Openg mengumumkan calon pilihan raya negeri akan datang bagi mengelak individu melobi untuk rakan mereka,” katanya kepada FMT.

Katanya, Susil masih berpeluang bertanding pilihan raya kerana dia kini ahli PBB, parti yang menjadi tulang belakang kerajaan Sarawak.

“Susil popular dan masih mendapat sokongan kuat akar umbi di kawasannya. Namun, keputusan terakhir di tangan Abang Johari.

“SUPP perlu patuh kepada keputusan PBB kerana presidennya juga merupakan ketua menteri Sarawak,” katanya.