Henti salahkan orang lain, akui saja kelemahan Warisan, kata bekas KM Sabah

Yong Teck Lee mendakwa kerajaan Sabah pimpinan Warisan menanggung tuntutan ganti rugi berbilion ringgit kerana memberi isyarat salah kepada pelabur dengan mengganggu perjanjian sah dan perniagaan sedang berjalan.

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah, Yong Teck Lee menggesa Naib Presiden Warisan, Darell Leiking berhenti menyalahkan orang lain atas prestasi terburuk ekonomi negeri itu akibat kelemahan pentadbiran kerajaan negeri yang berkuasa sejak 2018.

Sebaliknya, presiden SAPP itu berkata, Leiking perlu mengakui kelemahan dasar dan kekurangan hala tuju kerajaan negeri pimpinan Warisan.

“Penurunan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang drastik bagi Sabah kepada 1.5% pada 2018 bukan hanya disebabkan penurunan harga komoditi.

“Juga penting dan signifikan terdapat perubahan drastik yang merosakkan keyakinan perniagaan dan kerajaan negeri dipimpin Warisan kerana sewenang-wenangnya menekan perniagaan, sementara kerajaan persekutuan ketika itu, Pakatan Harapan membekukan pelaksanaan projek pembangunan baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yong turut mendakwa kerajaan Sabah menanggung tuntutan ganti rugi berbilion ringgit kerana memberi isyarat salah kepada pelabur dengan mengganggu perjanjian sah dan perniagaan sedang berjalan.

Katanya, perniagaan khasnya perusahaan kecil dan sederhana menderita, di mana banyak kedai runcit ditutup dan kadar pengangguran terus meningkat menjelang akhir 2018.

Beliau berkata, Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Sabah turut melaporkan penurunan pendapatan sebanyak 25 hingga 50%.

“Kerajaan negeri dipimpin Warisan dan PH sepatutnya dapat mengatasi masalah berkenaan menerusi Belanjawan nasional dan negeri 2019, tetapi gagal melakukannya.

“Kerajaan seringkali memberikan alasan dangkal, iaitu tidak mempunyai wang, yang kita semua tahu sekarang itu tidak benar. Perbendaharaan Sabah menunjukkan terdapat rizab RM4 bilion pada 2018, ke mana perginya RM4 bilion ini?” soalnya.

Yong berkata, Jabatan Perangkaan dalam laporannya pada 2018 menyatakan pertumbuhan ekonomi tinggi yang dicapai Sabah pada 2017 sebanyak 8.2% dan kadar kemiskinan berkurangan dengan ketara daripada 19.7% pada 2009 kepada 2.9% pada 2016.

“Memang pada 2017 Sabah mempunyai pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia, bahkan melebihi purata nasional, iaitu 5.9% sehingga berjaya mengurangkan jurang antara wilayah.

“Leiking bagaimanapun menyatakan dengan bangga setelah hanya berkuasa selama 26 bulan, pencapaian kerajaan pimpinan Warisan adalah pelaburan lebih tinggi dalam sektor pembuatan, pelancongan yang pesat, peningkatan eksport minyak sawit dan sektor pembinaan lebih aktif.

“Semua yang dilakukan partinya, Warisan digelar sebagai ‘kerajaan pengumuman’ kerana gagal menunjukkan apa-apa dan (Ketua Menteri Sabah) Shafie Apdal sering membanggakan jawatannya yang lama sebagai menteri persekutuan di pelbagai kementerian, tetapi apa yang telah dia lakukan untuk Sabah dalam tempoh tersebut?” soalnya.

Baru-baru ini, Leiking menepis kritikan bekas perdana menteri, Najib Razak berhubung kemampuan Warisan membangunkan Sabah kerana ia hanya berkuasa selama 26 bulan dan tempoh itu terlalu singkat untuk diadili.