Indonesia catat hampir 2,000 kes baru Covid-19

Umat Islam beratur untuk melalui khemah nyahkuman sebelum memasuki Masjid Al Mashun di Medan, Sumatera Utara bagi menunaikan solat sunat Aidiladha pada 31 Julai lalu. (Gambar AP)

JAKARTA: Kes positif Covid-19 di Indonesia meningkat kepada 115,056 kes, tambahan 1,922 kes baru dalam tempoh 24 jam lalu.

Berdasarkan data di laman rasmi www.covid19.go.id hari ini, seramai 68,131 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Sejak 12 tengah hari semalam sehingga tengah hari ini, 86 kematian direkodkan, menjadikan keseluruhan kematian di republik itu meningkat kepada 5,388 orang.

Wilayah Jawa Timur mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi, iaitu 23,412 kes, diikuti Jakarta (23,026) dan selebihnya di 32 wilayah lain.

Wilayah Jawa Timur juga mencatatkan jumlah kematian tertinggi, iaitu keseluruhan 1,781 orang, diikuti Jakarta (874), Jawa Tengah (665), Sulawesi Selatan (328) dan selebihnya di wilayah lain.