Jentera pilihan raya PAS Sabah sudah diaktifkan

KOTA KINABALU: PAS Sabah kini sudah mengaktifkan bilik operasi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.

Ketua Penerangan PAS Sabah Ahmad Dullah berkata jentera parti disusun dan digerakkan sejak Mac lagi susulan situasi politik yang tidak menentu dalam negara.

“Apabila diumumkan DUN Sabah dibubarkan, PAS tidak menunggu lama untuk mengarahkan seluruh jentera bergerak ke arah kemenangan dalam PRN ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain aktiviti penerangan, PAS Sabah turut mempergiatkan aktiviti menambah cawangan baharu, ahli baharu, bantuan kebajikan, dan pelbagai lagi bagi menarik sokongan rakyat.

Ahmad Dullah

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminiddin Aling dalam kenyataan mengumumkan parti itu berminat dan bersedia untuk bertanding.

Parti itu juga mengenal pasti beberapa kerusi yang berpotensi untuk ditandingi.

PRN Sabah bakal berlangsung selepas Ketua Menteri Shafie Apdal mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 30 Julai lalu.