Kerajaan negeri akan minta syarikat swasta biayai projek kereta kabel, kata KM Pulau Pinang

Kerajaan Pulau Pinang akan melaksanakan inisiatif pembiayaan swasta untuk projek kereta kabel Bukit Bendera jika ia boleh dilaksanakan. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri akan meminta syarikat swasta untuk membiayai projek kereta kabel yang menghubungkan Bukit Bendera ke Taman Botani selepas peruntukan persekutuan RM100 juta sebelum ini ditarik oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow bagaimanapun berkata, belum ada keputusan muktamad mengenai projek itu kerana kajian kebolehlaksanaannya masih berjalan.

“Jika projek ini dapat dilaksanakan, kami akan melakukan inisiatif pembiayaan swasta atau PFI,” katanya dalam wawancara Ubah.tv yang dihoskan ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, malam tadi.

Projek kereta kabel itu akan menggantikan kereta api funikular sedia ada bagi membolehkan ia beroperasi dengan kapasiti maksimum.

Seramai 1.38 juta orang mengunjungi Bukit Bendera tahun lalu.

Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini meluluskan peruntukan RM100 juta untuk projek itu dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng, dengan baki kos perlu ditanggung oleh kerajaan negeri.

Peruntukan itu ditarik balik oleh kerajaan PN yang baru.