Menteri gesa pekerja Malaysia dibuang kerja rujuk kementerian di Singapura

M Saravanan sudah berbincang dengan Kementerian Tenaga Manusia Singapura mengenai nasib pekerja Malaysia di negara itu.

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, M Saravanan menasihatkan rakyat Malaysia yang diberhentikan di Singapura supaya merujuk Kementerian Tenaga Manusia republik itu untuk mendapatkan hak penggajian mereka.

Bagaimanapun, katanya, beliau sudah berbincang dengan Kementerian Tenaga Manusia Singapura mengenai nasib pekerja Malaysia di negara itu.

“(Tetapi) nasib 400,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang telah diberhentikan kerja adalah tertakluk kepada undang-undang perburuhan negara berkenaan,” katanya semasa menggulung perbahasan ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) berhubung nasib pekerja Malaysia yang dibuang kerja di Singapura.

Pada 18 Jun lalu, Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad dilaporkan bimbang dengan nasib 415,000 rakyat Malaysia, khasnya dari Johor yang bekerja di Singapura mungkin diberhentikan akibat penguncupan ekonomi republik itu disebabkan impak Covid-19.