Pelantikan ahli politik di 17 syarikat sejak Mac, Dewan Rakyat diberitahu

Kementerian Kewangan berkata pelantikan ahli politik itu dibuat ke atas 17 buah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

KUALA LUMPUR: Ahli politik dilantik untuk 17 buah syarikat milik Kementerian Kewangan berdasarkan kemampuan dan kepakaran mereka, Dewan Rakyat diberitahu.

Kementerian Kewangan berkata pelantikan itu mengambil kira keperluan syarikat itu sendiri bagi membolehkan Lembaga Pengarah syarikat berkenaan beroperasi pada tahap yang optimum.

“Justeru, ahli politik yang berkelayakan atau memenuhi kriteria ‘fit and proper’ sahaja yang dilantik untuk menganggotai lembaga pengarah syarikat-syarikat MKD.

“Ini adalah salah satu cara untuk meningkatkan keupayaan barisan kepimpinan ALP syarikat MKD dengan memperluaskan serta mempelbagaikan lagi komposisi ahli-ahlinya daripada segi kemampuan, kepakaran dan pengalaman,” kata kementerian dalam jawapan bertulis kepada Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri).

Lim meminta Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz untuk menyatakan senarai GLC dan GLIC di mana lantikan politik telah dibuat sejak 2 Mac 2020 dan bagaimana lantikan itu akan membantu keberkesanan dan profesionalisme badan-badan ini.

Kementerian menyenaraikan 17 agensi di mana pelantikan ahli politik dibuat:

  • Amanah Raya Berhad
  • Felcra Berhad
  • Indah Water Konsortium Sdn Bhd
  • Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Berhad
  • JKP Sdn Bhd
  • Khazanah Nasional Berhad
  • Padiberas Nasional Berhad
  • Pengurusan Aset Air Berhad
  • Perbadanan Nasional Berhad
  • Perbadanan Usahawan Nasional Berhad
  • Prasarana Malaysia Berhad
  • Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn Bhd
  • Syarikat Perumahan Negara Berhad
  • Tenaga Nasional Berhad
  • UDA Holdings Berhad
  • Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera
  • Yayasan Pelaburan Bumiputera