Polis serbu pejabat, rampas komputer, kata Al Jazeera

Al Jazeera menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ pada 3 Julai lalu yang mengecam layanan buruk terhadap PATI ketika Malaysia melaksanakan langkah membendung penularan Covid-19.

KUALA LUMPUR: Saluran berita antarabangsa Al Jazeera berkata, polis menyerbu pejabatnya di sini, hari ini dan merampas 2 komputer sebagai sebahagian siasatan ke atas dokumentari mengenai pendatang asing yang mencetuskan kemarahan Putrajaya.

“Melakukan serbuan ke atas pejabat kami dan merampas komputer ialah tindakan keras pihak berkuasa ke atas kebebasan media yang semakin membimbangkan.

“Al Jazeera menggesa pihak berkuasa Malaysia menghentikan siasatan jenayah ini ke atas wartawan kami,” kata Pengarah Urusan Al Jazeera bahasa Inggeris, Giles Trendle dalam kenyataan hari ini.

Polis tidak memberi maklum balas terhadap permintaan untuk komen.

Al Jazeera menyiarkan dokumentari bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” menerusi program 101 East yang disiarkan 3 Julai lalu.

Dokumentari selama 25 minit itu mengecam layanan buruk terhadap pendatang asing tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah membendung penularan Covid-19.

Susulan itu, polis menyiasat Al Jazeera di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Tujuh kakitangan Al Jazeera, termasuk 5 warga Australia dipanggil ke Bukit Aman untuk disoal siasat pada 10 Julai lalu, manakala lelaki Bangladesh yang ditemubual dalam program itu ditahan polis.