Tiada semakan sebelum sertai usaha sama IPIC, kata bekas CEO 1MDB

Shahrol Azral Ibrahim enggan mengulas ketika ditanya jika lembaga pengarah 1MDB diuruskan ‘sekumpulan orang bodoh’.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu 1MDB tidak melaksanakan semakan sebelum menyertai usaha sama (JV) bernilai AS$6 juta dengan sebuah syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan dana kekayaan berdaulat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim berkata tiada semakan dibuat terhadap Aabar BVI Ltd yang diterima lembaga pengarah 1MDB sebagai anak syarikat IPIC.

Aabar Investment PJS ialah anak syarikat sebenar IPIC, sementara Aabar BVI ialah syarikat diperbadankan ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Lo serta rakan sekutunya di British Virgin Islands, yang dibubarkan pada Jun 2015.

Saksi ke-9 pendakwaan itu bagaimanapun berkata, beliau tidak mengambil tindakan sendiri untuk mengesahkan sama ada kedua-dua “Aabar” itu ialah syarikat sama dan hanya menerima kata-kata Jho Low.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas peguam utama pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan rasuah bekas perdana menteri, Najib Razak yang membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Shafee: Tetapi anda menyertai JV bernilai AS$6 juta dengan syarikat ini?

Shahrol: Ketika itu, kami (lembaga pengarah 1MDB) tidak mempunyai sebab untuk meraguinya. Jika dilihat kembali, saya setuju sepatutnya berbuat demikian.

Shafee: Anda bersetuju dengan saya, pasukan (penasihat kewangan) Goldman Sachs yang diketuai Tim Leissner sepatutnya melaksanakan semakan ke atas kedua-dua Aabar?

Shahrol: Jika ada yang tidak kena, kami menjangkakan Goldman Sachs, selaku penasihat kewangan berbayar, akan beritahu kami.

Tahun lalu, pihak berkuasa Amerika Syarikat melarang Leissner terbabit dalam industri sekuriti selepas mengaku bersalah terhadap dakwaan konspirasi rasuah dan pengubahan wang berkaitan 1MDB serta dijadualkan dijatuhi hukuman di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, New York tidak lama lagi.

Sementara itu, saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam memandangkan 1MDB tidak melakukan semakan kerana percaya dengan kata-kata Jho Low, mereka menjangkakan tindakan itu akan diambil Goldman Sachs.

Disoal lanjut Shafee, Shahrol berkata, beliau tidak terkejut apabila IPIC menafikan sebarang kaitan dengan Aabar BVI pada 2016.

“Saya mendengar pendedahan mengenai 1MDB daripada media pada 2015. Jangan salah faham, tetapi dari segi emosi, saya terpempan selepas mendengar laporan bagaimana mereka (1MDB) membelanjakan wang itu…justeru, saya tidak terperanjat dan hanya serahkan kepada pegawai penyiasat.”

Shafee kemudian membangkitkan perincian seperti perbezaan kepala surat dan tandatangan pada dokumen yang diserahkan Aabar BVI kepada 1MDB, Shahrol menjawab baik beliau mahupun pengurusan 1MDB tidak perasan akan hal tersebut ketika itu.

Shafee: Jadi, tiada sesiapa pun dalam pengurusan 1MDB membangkitkan isu ini (perbezaan tersebut) kepada anda?

Shahrol: Tidak ada.

Shafee: (Jika) Seluruh pasukan pengurusan 1MDB tidak nampak perbezaan itu, anda tidak boleh menyangka perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu (Najib) akan perasan?

Shahrol: Tiada komen.

Untuk rekod, dilaporkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara melaporkan 1MDB membayar RM4.24 bilion kepada Aabar BVI pada 2012 sebagai deposit sekuriti.

Sepanjang prosiding hari ini, Shafee yang merujuk Aabar Investment PJS sebagai “big Aabar” (Aabar besar) dan Aabar BVI sebagai “small Aabar” (Aabar kecil) berkata, pengurusan 1MDB sekali lagi terjatuh ke dalam “cobra pits” (sarang ular tedung).

Shafee: Anda perasan yang kita bergerak melalui banyak sarang ular tedung…1MDB ini pastinya diuruskan sekumpulan orang bodoh yang sanggup meredah sarang-sarang ular ini.

Shahrol: Saya tidak mahu ulas mengenai perkara itu.

Selepas rehat tengah hari, seorang lagi peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed mengemukakan kepada saksi minit mesyuarat pemegang saham yang ditandatangani Najib sebagai wakil Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MoF Inc) yang disertakan lampiran terma dan syarat berkaitan penjualan tanah membabitkan pembangunan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (kini dikenali TRX) antara Aabar BVI dan 1MDB.

Shahrol berkata, beliau tidak tahu jika Najib melihat minit itu bersama lampiran dan beliau juga tidak memaklumkankepada Najib sebelum melaksanakan arahan dokumen berkenaan.

Wan Aizuddin: Adakah anda tahu sama ada ini (minit mesyuarat pemegang saham bersama lampiran) ditunjukkan kepada Najib?

Shahrol: Saya tidak tahu.

Wan Aizuddin: Melihatkan kandungannya, adakah anda bersetuju, berdasarkan pada muka depan dokumen, tanggapannya ialah usaha sama itu antara 1MDB dan Aabar yang sebenar?

Shahrol: Ya.

Wan Aizuddin: Bagi yang tidak arif, apabila anda melihat 1MDB dan Aabar Investments PJS Limited (Aabar BVI), seseorang yang tidak dimaklumkan mengenai keganjilan yang ada, akan menerimanya sebagai yang sebenar?

Shahrol: Ya.

Najib, 66, menghadapi 4 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang membabitkan jumlah wang sama.

Perbicaraan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.