Tiada tindakan hentikan prosiding mahkamah di London terhadap IPIC, kata Peguam Negara

Peguam Negara Idrus Harun berkata kerajaan sentiasa bersifat terbuka untuk menimbang sebarang penyelesaian jika terdapat tawaran yang selaras dengan prinsip dan tanggungjawab kerajaan Malaysia, iaitu untuk memastikan aset negara dipulangkan dan pada masa sama keadilan ditegakkan.

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara mengesahkan buat masa ini, tiada tindakan untuk menghentikan prosiding mahkamah di London terhadap International Petroleum Investment Company (IPIC) bagi membatalkan perjanjian penyelesaian antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat itu.

Peguam Negara Idrus Harun berkata, kerajaan sentiasa bersifat terbuka untuk menimbang sebarang penyelesaian jika terdapat tawaran yang selaras dengan prinsip dan tanggungjawab kerajaan Malaysia, iaitu untuk memastikan aset negara dipulangkan dan pada masa sama keadilan ditegakkan.

“Sehubungan itu, perbincangan sentiasa dilakukan antara kedua-dua kerajaan, termasuk ketika Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan juga kerajaan kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perbincangan itu hanya membabitkan pegawai kerajaan Malaysia dan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tanpa pembabitan pihak lain.

Semalam, ahli Parlimen Damansara Tony Pua meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjelaskan laporan Sarawak Report, ia menghentikan kes itu yang difailkan oleh kerajaan sebelumnya terhadap IPIC.

Pada 2018, kerajaan PH memfailkan saman di London terhadap IPIC untuk mencabar penyelesaiannya dengan 1MDB kerana ia didakwa sebahagian daripada penyembunyian berkaitan skandal 1MDB.

Kerajaan melalui tindakan undang-undang di London berusaha mendapatkan AS$3.5 bilion (RM14.6 bilion) daripada dana 1MDB yang dibayar kepada anak syarikat IPIC.