25 penguatkuasa bantu seludup PATI ditahan

PETALING JAYA: Seramai 25 penguatkuasa ditahan kerana terlibat melanggar undang-undang seperti menjadi pemberi maklumat atau bersubahat membawa pendatang asing tanpa izin, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri I Ismail Mohamaed.

Ismail berkata tindakan tegas akan diambil terhadap “petualang” yang berurusan, bersubahat, menguruskan tekong atau menjadi tekong.

“Ops Benteng diperkenalkan kerajaan pada 1 Mei lalu, yang diketuai tentera, polis dan agensi-agensi lain bawah KDN. Jumlah tangkapan yang dibuat seramai 3,597 terdiri daripada 2,625 PATI, 602 orang tekong dan yang bersubahat seramai 370 orang.

“KDN ambil berat terhadap tindakan dilakukan penguatkuasa. Jumlah tangkapan penguatkuasa seramai 25 orang melibatkan pegawai dan anggota polis seramai 18 orang, anggota tentera seramai 5 orang, dan pegawai imigresen seramai 2 orang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang mempersoalkan keberkesanan mekanisme Ops Benteng mengatasi penyeludupan PATI serta apakah terdapat pegawai dan anggota pengkuatkuasa terlibat.

Sebelum ini, Ismail mengakui lorong tikus yang menjadi laluan masuk buat PATI memang menjadi masalah besar dalam usaha mengekang pencerobohan. Bahkan setakat ini, 546 lorong tikus dikenal pasti di seluruh negara dengan 169 daripadanya di Kelantan, manakala 5 di Bachok.

“Tetapi lorong ini selalu berubah dan tidak statik, ini jadi masalah kepada kita. Kalau di Sabah dan Sarawak bersempadan dengan Kalimantan, lagi sukar kerana kawasan ladang sawit yang tiada persempadanan jelas,” katanya.