Anwar gesa kerajaan kaji mengapa Bumiputera masih melarat

Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu menghapuskan dasar yang hanya memperkaya gerombolan elit dan petinggi politik

PETALING JAYA: Ketua pembangkang Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menjalankan kajian yang bebas dan inklusif bagi mengenal pasti punca sebenar sebahagian besar Bumiputera masih melarat walaupun pelbagai keistimewaan diberikan kepada golongan terbabit.

Katanya, ia bagi memastikan inisiatif bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) mencapai sasaran kepada golongan memerlukan dan kurang bernasib baik.

Bekas menteri kewangan itu berkata, walaupun inisiatif dan rancangan kerajaan untuk terus membantu Bumiputera disambut baik, ia akan gagal jika tidak menyasar kepada golongan benar-benar memerlukan.

“Keistimewaan yang dimaksudkan untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi Bumiputera telah diperalat untuk hanya memperkayakan golongan elit dan terus melebarkan jurang pendapatan antara yang kaya dan yang miskin,” katanya dalam kenyataan.

Anwar berkata, dasar kerajaan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dan kumpulan minoriti lain dalam ekonomi dan industri hanya boleh dicapai dengan baik melalui pelaburan dalam peningkatan kapasiti, selain latihan kemahiran dan pendidikan.

Katanya, kerajaan perlu menumpukan perhatian untuk merancakkan lapangan utama ekonomi dan memberikan dukungan secukupnya kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Beliau berkata, walaupun pembentangan RMK-12 ditangguhkan hingga awal tahun depan, kerajaan mesti segera mengkaji pendekatannya untuk membantu masyarakat Bumiputera.

“Hapuskan dasar yang hanya memperkaya gerombolan elit dan petinggi politik,” katanya.