Banyak pekerjaan didigitalkan, diganti kerana Covid-19, kata firma

Randstad menjangkakan lebih banyak perubahan dalam pasaran pekerjaan selepas ekonomi pulih dan peluang pekerjaan baru muncul.

PETALING JAYA: Sebuah firma pencari pekerjaan antarabangsa berkata Covid-19 mendorong syarikat untuk melabur dalam prasarana digital, menyebabkan “sejumlah besar” pekerjaan didigitalkan atau menggantikan tenaga manusia.

Pengarah Urusan Randstad Malaysia dan Singapura Jaya Dass berkata, perubahan drastik untuk memenuhi tuntutan baru itu menyebabkan pekerja mungkin terdorong meninggalkan syarikat untuk mencari majikan lain yang mana kemahiran dan pengalaman mereka masih relevan.

“Sebilangan mungkin beralih industri dan kerjaya sama sekali, dan akan mencari peluang pekerjaan dianggap mampu bertahan atau dapat memberikan keselamatan pada pekerjaan seperti bidang kesihatan dan teknologi.

“Kami menjangkakan lebih banyak perubahan dalam pasaran kerja selepas ekonomi pulih dan peluang pekerjaan baru muncul,” katanya.

Beliau mengulas laporan tinjauan “Randstad’s 2020 Covid-19 Labor Pulse Survey” melibatkan 531 pekerja yang mendapati 58% berniat mencari pekerjaan baru pada tahun berikutnya.

Daripada jumlah itu, 24% mengatakan mereka mencari pekerjaan atau bertukar industri, 13% mengatakan kemahiran dan pengalaman mereka tidak lagi relevan dengan keperluan pekerjaan, manakala 15% lagi diberhentikan.

Sebanyak 26% menyatakan kerana gaji dipotong atau dibekukan, manakala 24% lagi menyatakan kerana tidak berpuas hati dengan gaji.

Dass berkata, langkah pengurusan kos yang diambil oleh syarikat boleh menyebabkan ketidaktentuan dalam kalangan pekerja, mendorong mereka mencari majikan yang dilihat lebih stabil dari segi kewangan.

Tinjuan juga mendapati 72% responden bersedia mengambil kontrak profesional atau pekerjaan berdasarkan projek.

“Walaupun pekerjaan kontrak kebiasaannya bukan yang dicari oleh pekerja di Asia kerana kurangnya keselamatan dan kestabilan terhadap pekerjaan itu, ramai mula melihatnya sebagai pilihan yang sesuai dalam tempoh sukar ini.

“Jika dibandingkan dengan tiada pekerjaan, pekerjaan kontrak sebenarnya memberikan lebih banyak jaminan pekerjaan. Ramai pekerja berstatus kontrak menyatakan mereka peroleh kontrak baru malah sebelum kontrak tamat, memberikan mereka pekerjaan berterusan, ” katanya.

Dass berkata, mereka “sangat menggalakkan” pencari kerja lebih fleksibel dan terbuka ketika mencari kerja, dan mendapati banyak syarikat menawarkan peranan berdasarkan terma atau projek.

Katanya, peranan kontrak turut memberi peluang memperoleh kemahiran dan pengalaman yang relevan, terutama jika mereka berada dalam industri atau dengan syarikat yang mereka ingin bekerja.

Bagi mereka yang diberhentikan, Dass berkata harus mempertimbangkan peranan kontrak untuk mendapatkan pengalaman dan memperoleh kemahiran baru yang dapat membantu mereka terus bekerja.

“Calon ini juga lebih berkemungkinan dapat merundingkan semula gaji selepas pasaran pulih, berbanding mereka yang menghentikan perkembangan kerjaya semasa pandemik,” katanya.