Baru 2 minggu dibebas dari penjara, lelaki ditahan hempas anak

IPOH: Baru sahaja 2 minggu dibebaskan dari penjara atas kesalahan jenayah, seorang penganggur ditahan lagi selepas menghempas anak kandungnya berusia 7 tahun ke lantai rumah dalam kejadian di Kampung Kroh Hilir, Kuala Kangsar Ahad lepas.

Pemangku Ketua Polis Kuala Kangsar Zahiri Hassan berkata kejadian kira-kira 8.20 malam berlaku ketika suspek berumur 37 tahun itu sedang makan sebelum tiba-tiba marah apabila anak perempuannya itu meminta air minuman di atas meja.

Suspek yang tidak berpuas hati bertindak mengangkat anak bongsu daripada 4 beradik itu lalu menghempaskannya ke lantai sehingga cedera apabila dahi kiri mangsa terkena bucu meja makan.

“Suspek mengatakan anak perempuannya itu mengetuk kepalanya dan marah akan perbuatan anaknya. Mangsa kemudian menjerit dan menangis kesakitan. Ibu mangsa berusia 40 tahun yang sedang mengurus jadual persekolahan anak-anaknya bergegas membawa mangsa ke klinik kesihatan untuk dirawat.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut susulan mengalami kecederaan luka pada dahi kiri dan bengkak di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahiri berkata walaupun suspek melarikan diri sebaik sahaja selepas kejadian, lelaki itu yang mempunyai 2 rekod jenayah lampau dan 5 rekod lampau berkaitan kes dadah, berjaya diberkas di rumahnya kira-kira pukul 12 tengah hari keesokannya.

Suspek direman selama 7 hari sehingga Isnin depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.