Buka semula inkues Adib menidakkan keputusan mahkamah, kata Zahid

Rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada November 2018 menyebabkan kematian seorang anggota bomba.

PETALING JAYA: Cadangan mengadakan semula inkues berkaitan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, seolah-olah menidakkan keputusan mahkamah tahun lalu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 Sept 2019 memutuskan punca kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah membabitkan 2 atau lebih individu tidak dikenali.

Beliau berkata, tambahan cadangan untuk mengadakan semula inkues walaupun dibenarkan undang-undang jelas membuang masa dan melengahkan lagi keadilan terhadap Adib dan keluarganya.

“Saya mengambil maklum cadangan kerajaan kepada pihak Peguam Negara untuk menuduh 12 orang suspek bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang merusuh dan menyerang jentera bomba dan mengadakan semula inkues untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 339 (2) Kanun Prosedur Jenayah.

“Seksyen 143 Kanun Keseksaan adalah hukuman bagi mereka yang terlibat dalam sesuatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang, di mana pesalah hanya dihukum penjara tidak lebih 6 bulan atau denda atau keduanya sekali. Ini tidak setimpal dengan nyawa seorang penjawat awam yang dibunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahid berkata, sewajibnya pendakwaan yang harus dikenakan kepada mereka adalah kesalahan berkaitan dengan jenayah membunuh sebagaimana diperuntukkan dalam bab 16 Kanun Keseksaan dan bukan kesalahan himpunan haram.

Muhammad Adib Mohd Kassim

“Apatah lagi kesalahan dilakukan adalah jenayah yang amat serius terhadap seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

Semalam, kerajaan menjelaskan kertas siasatan kes kematian Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu, dengan disusuli beberapa cadangan.

Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib pada 17 Dis 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin ketika memperincikan perkembangan kes itu berkata, cadangan lain turut dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan jika mendapat persetujuan Peguam Negara.

Adib yang juga anggota unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) balai bomba dan penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).