Guna pekerja asing, pembangunan kereta terbang dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini

Isu penggajian pekerja warga asing dan perkembangan terkini pembangunan industri kereta terbang antara akan dibincangkan di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan mengurangkan kadar guna pekerja asing serta perkembangan terkini pembangunan industri kereta terbang antara perkara akan dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu penggajian pekerja asing yang mendominasi sektor pembuatan dan pembinaan itu akan diajukan Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) kepada menteri sumber manusia ketika sesi soal jawab lisan.

Abdul Azeez juga dijangka bertanyakan keberhasilan usaha mengurangkan kadar pengangguran warga tempatan yang kehilangan pekerjaan akibat Covid-19.

Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) dijadual bertanyakan menteri pembangunan usahawan dan koperasi mengenai perkembangan terkini pembangunan industri kereta terbang dan sama ada ia masih diteruskan bawah kementerian itu.

Selain itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) akan mengajukan soalan mengenai rasional mewujudkan kementerian khusus yang bertanggungjawab ke atas alam sekitar dan air serta objektif dan fokus utama kementerian berkenaan kepada menteri alam sekitar dan air.

Seterusnya, sidang Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-14 akan menyambung penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, dijangka membabitkan 7 kementerian.

Pembentangan beberapa rang undang-undang bagi bacaan kali ke-2 iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020, Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 turut disenaraikan dalam urusan aturan mesyuarat.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari hingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.