Hisham beri bayangan pusat keamanan Saudi dibuka semula

Hishammuddin Hussein berkata, keputusan membuka semula Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman terletak pada pertimbangan Kementerian Pertahanan.

KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Hishammuddin Hussein hari ini memberi bayangan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang ditutup semasa pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018 mungkin “dihidupkan semula”.

Katanya, beliau akan berbincang dengan Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengenai tindakan dan hala tuju pusat itu.

“KSCIP di Malaysia merupakan satu inisiatif ke arah pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi, terutamanya dalam bidang keselamatan. Malaysia adalah negara pertama dilawat Raja Salman ketika mengadakan lawatan ke Asia Tenggara.

“Kita diberi tawaran untuk pembinaan inisiatif demikian berbanding negara-negara lain yang dilawati. Ia adalah satu pengiktirafan kepada Malaysia. Bagaimanapun, pembatalan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada 2 negara.

“Keputusan membuka KSCIP terletak pada pertimbangan Kementerian Pertahanan. Saya akan terus berbincang dengan menteri kanan keselamatan mengenai tindakan dan hala tuju berkaitan pusat keamanan ini,” katanya di Dewan Rakyat.

KSCIP diilhamkan selepas kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud ke Malaysia pada Mac 2017 serta penyertaan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak dalam sidang kemuncak di Riyadh yang dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Najib pada Julai 2017 dilaporkan berkata, pusat itu bakal mempunyai sebuah bangunan kekal di tanah seluas 16 hektar di Putrajaya yang bersamaan 20 padang bola sepak.

Bagaimanapun, pada Ogos 2018, Menteri Pertahanan ketika itu, Mohamad Sabu menerusi jawapan bertulis di Parlimen memaklumkan Malaysia menghentikan operasi KSCIP dan pejabat sementara di Jalan Ampang ditutup serta-merta.

Katanya, fungsi KSCIP diserap ke dalam Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) di bawah Kementerian Pertahanan.

Hari ini, Hishammuddin berkata, sepanjang mengetuai Kementerian Luar dalam 4 bulan ini, hubungan Malaysia dan Arab Saudi yang sebelum ini terjejas akibat penutupan KSCIP, kembali erat.

Hishammuddin yang juga bekas menteri pertahanan di bawah kerajaan Barisan Nasional, meminta Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada KSCIP.

“Kalau setuju bahawa ia merentasi warna kulit dan agama, kalau cadangan untuk hidupkan KSCIP, saya harap (anda) akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada apa yang kita hendak laksanakan ini.”

Terdahulu, Kasthuri menegur Hishammuddin menggunakan istilah “Islamic Terrorist” ketika berbahas di Dewan Rakyat.

Katanya, isu keganasan tidak seharusnya dikaitkan dengan agama kerana tiada agama yang mengajar penganutnya menjadi pengganas.