Jumlah kerosakan letupan di Beirut dianggar cecah AS$5 bilion

Keadaan di lokasi kejadian selepas letupan dahsyat di Beirut, Lubnan hari ini. (Gambar AP)

KAHERAH: Gabenor Beirut, Marwan Abboud menganggarkan jumlah kerosakan akibat letupan dahsyat di pelabuhan bandar itu sekitar AS$3 bilion hingga AS$5 bilion, lapor agensi berita Sputnik.

Letupan berkenaan menggegarkan bandar itu pada Selasa dan meragut sekurang-kurangnya 100 nyawa dengan ribuan lagi cedera.

Susulan itu, Presiden Lubnan, Michel Aoun mengisytiharkan darurat 2 minggu di Beirut.

Menurut pihak berkuasa, ia disebabkan tindakan gudang bunga api menyimpan 2,750 tan metrik ammonium nitrat dengan cara salah yang didakwa menjadi punca letupan itu.

“Anggaran kerosakan antara AS$3 bilion hingga AS$5 bilion,” katanya dipetik penyiar LBCI, sambil menambah berkemungkinan jumlah itu lebih tinggi.