Layanan istimewa terhadap Proton bantut industri automotif negara, kata menteri

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Industri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengakui dasar kerajaan berhubung industri automatif khususnya layanan istimewa diberikan kepada Proton merupakan penghalang kepada pembangunan industri itu.

Wan Junaidi berkata layanan istimewa kepada Proton menyebabkan syarikat besar dalam industri automatif beralih arah ke negara jiran

Baginya, dasar berhubung industri automatif perlu dikaji semula.

“Sebenarnya kalau fokus kepada industri permotoran, kita melihat bahawa Proton dahulu dan dasar kerajaan pada ketika itu adalah ‘stumbling block’ kepada pembangunan industri automatif. Satu lagi, ialah cukai yang kerajaan kenakan kepada kereta import.

“Proton dapat layanan istimewa dari kerajaan. Banyak syarikat besar industri automotif hendak melabur ke Malaysia, berpindah ke Thailand, contohnya, BMW. Dasar ini perlu dilihat semula bagi membangunkan industri automotif negara,” katanya di Dewan Rakyat.

Proton ditubuhkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 1983 dan mula mengeluarkan kereta nasional pada 1985 untuk mencapai aspirasi negara perindustrian. Syarikat itu pernah menguasai pasaran kenderaan tempatan dengan hampir 80% kereta penumpang baharunya dijual.

Sejak 2012, Proton menjadi sebuah syarikat swasta sepenuhnya apabila ia 100% dimiliki DRB-Hicom sebelum 49.9% ekuiti dalam Proton dijual kepada Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) pada Mei 2017.

Sementara itu, Wan Junaidi akui serta menerima hakikat wujud kelemahan di pihak kerajaan sebelum ini dalam membuat dasar dan perundangan membabitkan pembangunan kereta elektrik.

“Dasar kita berhubung kereta elektrik memakan masa yang panjang untuk meluluskan undang-undang, kalau dibandingkan dengan negara lain seperti China. Di sini, kita mempunyai dasar yang tidak cukup untuk adaptasi kereta elektrik atau teknologi baru industri automotif,” katanya.

Terdahulu, Wan Junaidi memberitahu, projek mobiliti udara seperti “super drone” atau lebih dikenali sebagai kereta terbang mempunyai potensi besar di masa akan datang.

Projek itu menjadi kontroversi semasa pentadbiran lepas.

“Dalam konteks sebenar mobiliti udara, ia merupakan industri berpotensi di peringkat tempatan dan antarabangsa, disamping boleh diaplikasikan oleh teknologi lain. Projek mobiliti udara ini dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta dan tidak melibatan sebarang peruntukan dari kerajaan,” katanya.

Menjawab persoalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) memintanya menjelaskan status dana RM20 juta diluluskan syarikat bawah Jabatan Perdana Menteri untuk projek kereta terbang, Wan Junaidi berkata beliau tidak mempunyai maklumat berhubung perkara itu.

“Sebab di Parlimen, kalau berbohong saya boleh dikatakan mengelirukan Dewan Rakyat. Saya hanya jelaskan apa yang saya tahu dan saya galakkan lebih banyak lagi duit dari kerajaan untuk pembangunan industri ini. Saya tidak boleh beritahu apa terjadi kepada kewangan itu,” katanya.