Mahkamah diberitahu Maria Chin dilarang ke luar negara pada 2016 atas alasan dibenarkan

Maria Chin Abdullah dihalang ke Korea Selatan pada 15 Mei 2016 untuk menerima anugerah bagi pemantau pilihan raya itu. Bagaimanapun, larangan perjalanan itu ditarik balik pada 17 Mei 2016, selepas 2 hari larangan itu dikeluarkan.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini, sekatan perjalanan ke luar negara yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah atas alasan dibenarkan kerana ia melibatkan soal dasar kerajaan dan kepentingan negara yang berpotensi mempengaruhi hubungan diplomatik dengan Korea Selatan.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili ketua pengarah imigresen dan menteri dalam negeri berkata demikian dalam hujahnya pada prosiding rayuan Chin.

“Ketua pengarah Jabatan Imigresen menyatakan alasan untuk menyenaraihitamkan Maria bahawa perayu telah mengkritik kerajaan di forum berbeza dan perhimpunan haram.”

Merujuk kes kerajaan Malaysia lwn Loh Wai Kong, Shamsul berkata, Mahkamah Persekutuan memutuskan kebebasan peribadi dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan hak asasi asas kepada warganegara untuk melakukan perjalanan ke luar negara.

Dalam kes itu, beliau berkata, kerajaan boleh menghalang seseorang daripada meninggalkan negara ini.

Bekas pengerusi Bersih 2.0 itu dihalang terbang ke Korea Selatan pada 15 Mei 2016 untuk menerima anugerah bagi pemantau pilihan raya itu. Bagaimanapun, larangan perjalanan itu ditarik balik pada 17 Mei 2016, selepas 2 hari larangan itu dikeluarkan.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakimannya pada 18 Mei 2017, manakala rayuannya ditolak di Mahkamah Rayuan pada 25 Mei 2018.

Pada 19 Feb 2019, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Chin untuk mengemukakan rayuan.

Peguam Gurdial Singh Nijar yang mewakili Chin dalam hujahnya berkata, menteri dalam negeri dan ketua pengarah Imigresen tidak boleh bergantung kepada peruntukan am dalam Akta Imigresen untuk mewajarkan larangan perjalanan ke atas wanita itu dan mencabuli hak asasi kebebasan bersuara dan ekspresinya.

Beliau berhujah dengan bergantung kepada pekeliling dalaman jabatan untuk menghalang ahli Parlimen Petaling Jaya itu ke luar negara pada 2016, responden (menteri dalam negeri dan ketua pengarah imigresen) mengehadkan kebebasan bersuara dan berhimpun seperti termaktub dalam Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Responden membenarkan larangan perjalanan atas alasan perayu (Chin) dijadualkan berucap dalam Forum Gerakan Rakyat dan menganjurkan perhimpunan Perjanjian Perkongsian Anti-Trans-Pasifik (Perhimpunan Anti-TPPA).”

Peguam itu berkata, Seksyen 3 (2) atau Seksyen 4 Akta Imigresen 1959 tidak memberikan kuasa kepada ketua pengarah imigresen untuk mengenakan larangan perjalanan atau mengeluarkan suatu pekeliling yang memberinya kuasa perundangan, manakala Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan hanya menyatakan Parlimen dan bukan Eksekutif yang boleh menyekat kebebasan bersuara dan berhimpun.

Katanya, hak eksklusif Parlimen untuk mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara dan ekspresi, hanya sah jika termasuk dalam sekatan yang dibenarkan seperti ketenteraman awam, moral atau kepentingan keselamatan persekutuan.

Gurdial Singh berhujah, walaupun larangan perjalanan ditarik balik ke atas Chin, beliau tidak boleh dibiarkan tanpa remedi, sambil menambah Chin harus diberikan pampasan wang berdasarkan pelanggaran Perlembagaan yang dilakukan responden.

Panel 7 hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat menetapkan untuk menyampaikan keputusan rayuan itu pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Panel itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf dan Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Nallini Pathmanathan, Abdul Rahman Sebli, Hasnah Mohammed Hashim, Mary Lim Thiam Suan dan Harmindar Singh Dhaliwal.