PAC digesa siasat kelewatan bina kapal tempur pesisir

Sebuah kapal tempur pesisir yang sama seperti yang sepatutnya dibina oleh Boustead Naval Shipyard. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang penganalisis pertahanan menyeru Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) menyiasat kelewatan Boustead Naval Shipyard menyiapkan 6 kapal perang.

Lam Choong Wah, bekas felo di Research for Social Advancement berkata badan Parlimen itu wajar melakukan siasatan mendalam kerana syarikat tersebut bertanggungjawab kepada pembayar cukai.

Beliau berkata PAC mesti mencari sebab unit Boustead Holdings itu gagal memenuhi kewajipannya dan menambah syarikat itu perlu disusun semula secara holistik bagi menyelesaikan isu pembaziran, ketidakcekapan, dan rasuah.

Projek itu, bernilai lebih RM9 bilion, dianugerahkan pada 2014 dan tempahannya adalah pembinaan 6 kapal tempur pesisir. Kapal pertama patut diserahkan pada April 2019 tetapi tiada sebuah pun dibina walaupun kerajaan sudah membayar RM6 bilion kepada syarikat itu.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata Putrajaya sedang mempertimbangkan 3 cadangan: Projek diteruskan oleh Boustead dengan menyiapkan sekurang-kurangnya 2 kapal, melantik Naval Group France membina 2 kapal melalui surat ikatan penyerahhakan, atau menamatkan kontrak dengan Boustead dan mencari usaha lain menyelamatkan projek itu.

Lam mengkritik pilihan-pilihan itu, mengatakan pilihan pertama dan kedua merugikan kerajaan, dan pilihan ketiga pula kerajaan menyelamatkan projek itu.

“Ini pertama kali Kementerian Pertahanan mengakui program LCS itu berdepan masalah dan potensi rasuah,” katanya.

“Menurut pendedahan menteri di Parlimen, masalah utama pada kontraktor, Boustead, dan kerajaan teragak-agak untuk menyelamatkan program itu.”

Katanya, kerajaan perlu mengimbangi kebimbangan mengenani kewangannya dan keperluan pertahanan negara, mengatakan ia akan menjadi satu tamparan hebat pada pertahanan negara sekiranya aturan dengan Boustead gagal.

Beliau menggesa Putrajaya menubuhkan satu jawatankuasa semakan yang dianggotai wakil Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan serta pakar pembinaan kapal, dan berkata program itu harus distruktur semula secara keseluruhan.

Aruna Gopinath, yang bersara daripada Universiti Pertahanan Nasional, berkata ramai veteran tentera laut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung projek itu tahun lepas.

Katanya, keputusan sama ada untuk menamatkan kontrak itu hanya boleh dibuat selepas siasatan SPRM selesai.

“SPRM perlu siasat kepentingan semua pemegang taruh,” katanya.