Saya tukar kem demi dapat lebih banyak dana, kata ahli Parlimen Sarawak

Jugah Muyang (kanan) bersama PKR sehingga beliau menyuarakan sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri pada 6 Jun lalu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Alasan seorang ahli Parlimen bebas mengucapkan terima kasih kepada Perikatan Nasional menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat hari ini, dengan seorang wakil rakyat pembangkang membangkitkan soal rasuah.

Jugah Muyang (Bebas-Lubok Antu) mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abdul Rahman Mohamad kerana menaikkan peruntukan pembangunan di kawasannya.

“Terima kasih timbalan menteri kerana telah meluluskan beberapa projek di kawasan Parlimen Lubok Antu.

“Saya mewakili rakyat mengucapkan terima kasih kepada menteri, sebab itulah saya mengalihkan sokongan saya kepada PN untuk mendapatkan peruntukan lebih banyak di kawasan saya yang masih ketinggalan dari segi pembangunan.”

Susulan itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) meminta penjelasan Speaker, Azhar Harun kerana merasakan Jugah tidak patut menggunakan kata-kata itu.

“Secara terbuka menteri gunakan perkataan ‘lobbying’ dan sebagainya. Ada pula seorang ‘backbencher’ yang mengatakan disebabkan projek-projek kawasan, beliau mengalihkan sokongan. Ini Dewan Rakyat dan mereka secara terbuka bercakap tentang…ini adalah salah guna kuasa, rasuah. Apa semua ini?” soalnya.

Rayer bertanya jika kata-kata itu dibenarkan di Dewan Rakyat. “Rakyat sedang melihat,” katanya.

Azhar berkata, Jugah hanya menyuarakan penghargaannya atas peruntukan tambahan yang diluluskan untuk pembangunan di kawasannya.

Kedua-dua pihak kemudiannya cuba menjelaskan kenyataan mereka, sebelum speaker mematikan mikrofon dan menenangkan dewan.

Azhar berkata: “Beliau (Jugah) tak kata beliau sokong PN setelah disetujui untuk dibayar atau diberikan peruntukan yang lebih. Beliau tak kata begitu.”

Azhar berkata, Rayer mungkin memahami kenyataan itu secara berbeza.

Jugah ialah ahli PKR sehingga 6 Jun lalu, ketika beliau menyuarakan sokongannya terhadap PN dan menyerahkan akuan bersumpah untuk menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Beliau bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum 2018 sebelum menyertai PKR.