Siapa pun berkuasa selepas PRN berdepan cabaran luar biasa, kata Pemuda Umno Sabah

Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain berkata, kerajaan negeri baru boleh merangka polisi jangka pendek dan panjang demi kestabilan dan menjana aktiviti ekonomi negeri. 

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain berkata, siapa pun yang berkuasa selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal berdepan cabaran besar memerintah negeri ini.

Katanya, antara cabaran “luar biasa” bakal dihadapi, termasuk dari segi impak kesihatan, ekonomi dan sosial.

“Kerajaan negeri nanti boleh mengadakan polisi jangka pendek dan panjang yang komprehensif untuk kestabilan dan menjana aktiviti ekonomi di Sabah, di mana rakyat mendapat manfaat secara langsung.

“Dari segi polisi jangka pendek, satu ‘quantum leap economy’ perlu diberi penekanan untuk menggantikan sektor ekonomi yang terjejas akibat pendemik Covid-19 seperti eko-pelancongan.

“Tidak terlalu lambat jika kerajaan negeri memanfaatkan kekayaan semula jadi mineral galian dan tanah yang luas untuk diusahakan dalam sektor pertanian, penternakan dan perladangan dengan membuka pintu pelaburan asing tanpa terlalu banyak ‘red-tape’,” katanya dalam Wacana Sinar Harian yang merungkai keadaan politik di Sabah ketika ini.

Aziz berkata, sebuah pusat sehenti juga perlu diwujudkan bagi tujuan polisi jangka pendek, bagaimanapun kesan sampingan daripada polisi itu harus diberi pertimbangan seperti alam sekitar.

Sementara itu, beliau berkata dari segi polisi jangka panjang, kerajaan negeri perlu membuka pintu kepada pelabur luar untuk memberi manfaat kepada pembangunan dan rakyat.

“Kesimpulannya, kerajaan negeri yang baru haruslah mempunyai aspirasi sama dengan kerajaan pusat ‘government of the day’ bagi membuat suatu langkah pembangunan progresif dan cepat untuk kelangsungan kehidupan rakyat di saat penuh mencabar ini,” katanya.