Top Glove akan bayar balik RM50 juta yuran rekrut kepada pekerja asingnya

Top Glove berharap dapat menyelesaikan masalahnya dengan agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS dan larangan import sarung tangannya dibatalkan dalam sebulan.

KUALA LUMPUR: Top Glove Corp Bhd akan membayar balik sehingga RM50 juta yuran perekrutan tertunggak kepada pekerja asingnya supaya Amerika Syarikat akan menarik balik larangan import sarung tangan getahnya.

Pengerusi Eksekutifnya, Lim Wee Chai berkata pihaknya sedang berkomunikasi dengan agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) dan perkara itu akan diselesaikan dalam sebulan.

Katanya, mereka menetapkan dasar baru berikutan dakwaan penggunaan buruh paksa, termasuk dasar “sifar yuran pengambilan” untuk pekerja asing baru.

“Sebelum ini, kami tidak pernah setuju membayar yuran perekrutan,” katanya sambil menambah CBP “berat sebelah” dalam menentukan larangan import itu.

“Kami berharap Kastam AS lebih memahami kami sekarang. Rundingan berjalan dengan baik dan diharapkan kami boleh menyelesaikannya pada Ogos.

“Sebaik saja kami menyelesaikannya, ia sepatutnya okey,” katanya sambil menambah AS bimbang dengan yuran pengambilan ejen yang dibayar pekerja asing.

CBP menguatkuasakan larangan import sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan anak syarikat Top Glove, Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd pada 15 Julai lalu kerana mengesyaki isu penggunaan buruh paksa.

Sementara itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali berkata, kerajaan akan menghantar laporan mengenai isu buruh paksa kepada AS sebagai sebahagian komitmennya untuk menangani tuduhan itu.