Angka korban letupan Beirut meningkat, darurat diisytiharkan

Kerosakan di tapak letupan di pelabuhan Beirut pada 5 Ogos. (Gambar AP)

BEIRUT: Kabinet Lubnan pada Rabu mengisytiharkan darurat di Beirut selama 2 minggu, sementara jumlah kematian akibat letupan di pelabuhan Beirut meningkat 135 orang, lapor agensi berita Xinhua.

Pelabuhan Beirut dikejutkan dengan 2 letupan besar sekitar 6.10 petang (waktu tempatan) Selasa, turut menggegarkan bangunan serta menyebabkan kerosakan di seluruh ibu kota Lubnan itu.

Menteri Kesihatan Hamad Hassan mengumumkan setakat ini, 135 orang terbunuh dan 5,000 yang lain cedera.

Maklumat awal mendapati ammonium nitrat yang disimpan sejak 2014 di gudang 12 di pelabuhan itu mungkin menyebabkan letupan.

Kabinet memutuskan untuk menahan pegawai pelabuhan yang terlibat dalam penyimpanan 2,700 tan ammonium nitrat itu.

Siasatan terhadap bencana itu masih berjalan dan Majlis Pertahanan Tertinggi berjanji akan mendedahkan beberapa hasil siasatan dalam masa 5 hari.