Deepak gagal masuk nama Najib dan 7 lagi dalam saman PI Bala

Peguam Najib, David Mathews berkata, mahkamah membuat keputusan itu atas alasan Deepak gagal menimbulkan kes prima facie dan permohonan beliau kekurangan butiran.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan ahli perniagaan, J R Deepak Jaikishan untuk memasukkan nama bekas perdana menteri Najib Razak dan 7 yang lain sebagai pihak ketiga dalam kes saman difailkan keluarga penyiasat persendirian, P Balasubramaniam.

Peguam David Mathews, mewakili Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, memberitahu pemberita bahawa pesuruhjaya kehakiman, Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan tersebut dalam kamar.

Selain Najib dan Rosmah, individu lain adalah adik-beradik beliau, Mohd Nazim dan Ahmad Johari, peguam Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Arulampalam Mariampillai serta pesuruhjaya sumpah, Zainal Abidin Muhayat.

Mathews berkata, mahkamah membuat keputusan itu atas alasan Deepak gagal menimbulkan kes prima facie dan permohonan beliau kekurangan butiran.

“Hakim juga memutuskan Deepak membuat pernyataan yang tidak konsisten dalam afidavit sebelumnya yang bercanggah dengan ketegasan dalam permohonan ini.

“Mahkamah juga memberikan jumlah kos RM15,000 kepada Najib dan isteri, RM15,000 lagi kepada Cecil dan Sunil dan masing-masing RM10,000 kepada Ahmad Johari, Mohd Nazim, Arulampalam dan Zainal,” katanya.

Deepak diwakili peguam RK Nathan dan K Vinod.

Kesemua 8 individu, yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu kecuali Deepak, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman dikemukakan balu Balasubramaniam, A Santamil Selvi dan 3 anaknya, Kishen, Menaga dan Reeshi.

Pada 30 Januari 2018, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan 8 defendan itu untuk membatalkan saman berkenaan.

Bagaimanapun, defendan berjaya dalam rayuan mereka selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Deepak kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk memasukkan 8 individu tersebut dalam saman itu.

Pada 23 Julai 2017, Santamil Selvi bersama 3 anaknya selaku plaintif memfailkan saman ke-2 bagi pihak mendiang dengan menamakan 8 individu, termasuk Deepak sebagai defendan.

Balasubramaniam merupakan saksi utama dalam perbicaraan kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Beliau meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2013, beberapa minggu selepas pulang dari India.

Dalam penyataan tuntutan, Santamil Selvi dan anaknya mendakwa mereka terpaksa hidup dalam buangan di India selama 56 bulan mulai 4 Julai 2008 selepas pendedahan Balasubramaniam dalam akuan bersumpah keduanya dalam kes pembunuhan Altantuya.

Plaintif memohon ganti rugi berjumlah RM840,000, termasuk kos menyewa sebuah apartmen di Chennai, India, yuran sekolah dan kehilangan pendapatan sebagai guru tadika, pinjaman perumahan, kos pengangkutan, ganti rugi am, ganti rugi khas dan kos.