Gara-gara berebut alat kawalan jauh, bapa ancam tikam anak dengan pemutar skru

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji menunjukkan gambar suspek yang ditahan dalam kejadian di Inanam, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Seorang bapa sanggup menjadikan anak lelakinya berusia 8 tahun sebagai tebusan hanya disebabkan berebut alat kawalan jauh televisyen di Taman Seri Kionson, Inanam di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, suspek yang berusia 36 tahun dikatakan memaut leher anaknya dan mengugut untuk menikamnya menggunakan pemutar skru.

Pihak polis yang berada di lokasi kejadian juga terpaksa mengambil masa 2 jam untuk menenangkan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji berkata, semasa kejadian, suspek mengacukan sambil beberapa kali menghentak pemutar skru di kepala kanak-kanak berkenaan.

Katanya, lelaki itu turut mengugut anggota polis yang berada di lokasi supaya tidak merapatinya dan memberitahu akan menikam anaknya sendiri sekiranya ingkar.

“Suspek tetap berkeras tidak mahu melepaskan anaknya yang amat ketakutan ketika itu.

“Polis terpaksa menggunakan kaedah psikologi bagi menenangkan suspek sebelum dia menyerahkan pemutar skru kepada polis. Dia kemudiannya ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Habibi berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis syabu.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai 3 rekod jenayah lampau, termasuk menetak isterinya kira-kira 2 bulan lalu.

“Kes sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan suspek turut mempunyai 2 kes dadah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek kini ditahan reman selama 7 hari dan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.