Guan Eng hadir kali ke-4 di ibu pejabat SPRM malam ini

Pada 22 Julai, Lim Guan Eng hadir lebih 6 jam ke ibu pejabat SPRM untuk diambil keterangan berhubung projek trowong Pulau Pinang.

PUTRAJAYA: Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sekali lagi dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam ni.

Lim tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini pada jam 9.10 malam bersama-sama beberapa individu yang dipercayai peguam beliau.

Difahamkan kehadiran beliau ke SPRM untuk kali ke-4 itu adalah susulan siasatan berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini memaklumkan bahawa siasatan ke atas projek bernilai RM6.3 bilion itu adalah berkaitan dakwaan pengubahan wang dan dijangka selesai dalam tempoh 2-3 minggu.

Sebelum ini Lim antara beberapa pemimpin dan bekas pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan.

Pada 22 Julai, Lim hadir lebih 6 jam untuk diambil keterangan berhubung projek trowong tersebut.

Beliau kemudian dipanggil untuk kali ke-2 pada 25 Julai berhubung siasatan sama dan dilihat keluar selepas 7 jam disiasat.

Pada 23 Julai, beliau dipanggil kali ke-3 dan keluar beberapa jam selepas itu.

Baru-baru ini seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang ditahan dan kemudian dilepaskan dengan ikat jamin, sementara 3 syarikat diserbu berhubung siasatan sama.

Projek terowong dasar laut dan 3 jalan dicadangkan oleh kerajaan Pulau Pinang untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Terowong sepanjang 7.2km itu dirancang bagi menghubungkan Jalan Pangkor di pulau dan Bagan Ajam di tanah besar.