Hisap vape di Parlimen: Hishammuddin minta maaf, bayar denda

Menteri Luar Hishammuddin Hussein mengaku didenda oleh Kementerian Kesihatan kerana menghisap vape di Parlimen.

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Hishammuddin Hussein memohon maaf atas tindakannya menghisap rokok elektronik (vape) di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Sembrong itu juga berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya.

“Berhubung isu membabitkan saya hari ini, saya mengaku ia memang kesalahan saya. Sekali lagi saya mohon maaf kepada Dewan yang mulia serta seluruh rakyat Malaysia. Saya janji tidak akan ulangi kesalahan ini.

“Saya juga tetap berpendirian bahawa tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengenakan denda, saya akan bayar. Terima kasih semua atas teguran dan nasihat,” katanya di Facebook beliau malam ini.

Sebelum itu, Hishammuddin turut membuat permohonan maaf di akaun Twitter miliknya.

Klip video berdurasi 9 saat yang menunjukkan Hishammuddin menghisap vape sambil memakai pelitup muka tular di media sosial hari ini dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada warganet.