Kelainan upaya bukan penghalang, ibu tetap zahirkan kasih buat anak-anak

Rasidah Abd Aziz, 56, akan bangun seawal jam 4 pagi bagi menyediakan menu jualan sebagai menambah sumber pendapatan buat keluarganya.

KUALA LUMPUR: Demi memastikan senyuman terus terukir di bibir anak-anak, seorang ibu kelainan upaya sanggup mengorbankan masa dan keringat serta melupakan kesakitan yang dialami agar mereka terus mengejar cita-cita.

Rasidah Abd Aziz, 56, tidak berputus asa meskipun kakinya tidak mampu lagi berdiri dan perlu berkerusi roda akibat ketumbuhan di buah pinggang sejak 13 tahun lepas.

Katanya, beliau sanggup berkorban apa sahaja, malah terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu seperti orang lain.

“Saya tetap kena teruskan hidup demi anak-anak, saya tahu anak-anak tidak boleh hidup susah dan lalui masalah mereka secara bersendiri. Jadi saya kena terus kuat. Tidak mengapalah saya lupakan impian saya, saya berkorban demi anak-anak.

“Pernah juga anak-anak bertanya, apakah saya ini tidak penat menjalankan kerja-kerja rumah, dengan keadaan semuanya berkerusi roda. Saya beritahu mereka, tidak mengapalah, saya tidak penat bahkan seronok jika melihat anak-anak terus tersenyum,” katanya.

Kunjungan FMT di teratak Rasidah dan anak-anaknya di Desa Tasik, Sungai Besi mendapati, setiap peralatan memasak termasuk sinki dapur semuanya diubah suai mengikut paras ketinggiannya sewaktu berkerusi roda.

Rasidah Abd Aziz, 56, akan terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu dan tidak hanya mahu terus bergantung kepada anak-anak.

Rasidah kini terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan dibekalkan hospital memandangkan harapannya sebelum ini untuk kembali pulih sudah terpadam.

Ia susulan beberapa pakar perubatan ditemuinya tidak berani mengambil risiko kerana bimbang perkara lebih teruk menjejaskan kesihatannya.

Beliau yang berasal dari Johor itu turut diuji dengan 2 daripada 3 anaknya mengalami masalah kesihatan, yang mana anak sulungnya mengalami masalah skizofrenia, manakala anak bongsunya pula diuji dengan masalah membabitkan tulang kaki.

“Macam anak sulung saya, dia kata dirinya tidak sakit tetapi hakikat sebaliknya. Dia juga tidak boleh berhadapan ramai orang. Jadi, jika saya tidak kuat sebagai ibu macam mana,” katanya yang mula sebak apabila bercerita kasih sayangnya terhadap anak-anak.

Menurut Rasidah, biarpun pergerakannya terhad, namun dengan kehadiran anak-anak yang sentiasa menghulurkan pertolongan, beliau bersyukur kerana mereka memahami keadaan beliau.

Rasidah Abd Aziz, 56 memberitahu beliau sanggup mengorbankan keperitan dan masalah dialaminya demi melihat anak-anaknya itu terus tersenyum dan bahagia.

“Alhamdulillah masih boleh mandi sendiri lagi, masih boleh masak lagi, cumanya perlukan bantuan anak-anak untuk berdiri buat sementara waktu dan pindahkan saya dari kerusi roda lain ke kerusi roda lain. Boleh berdiri tetapi kaki tidak tahan untuk berdiri lama,” katanya.

Tambahnya, walaupun dirinya dan keluarga menerima bantuan dari Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan jumlah keseluruhan RM800 sebulan, namun untuk memenuhi keperluan keluarga, Rasidah perlu mencari inisiatif untuk menambah pendapatan.

Setiap pagi, sudah menjadi rutin harian Rasidah untuk menyiapkan juadah nasi lemak dan beberapa menu lain sebelum dijual secara kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan.

“Sebelum ini, saya berniaga jual kerepek. Saya akan bawa kerepek-kerepek ini dengan menggunakan kerusi roda, saya ikat kerepek ini di bahagian kiri dan kanan kerusi roda, saya akan jualnya kepada pelajar-pelajar sekolah yang menuntut kelas fardhu ain di kawasan perumahan.

“Saya bungkus kerepek ini kecil-kecilan dan jualnya dengan nilai RM2.50 sen. Setiap hari saya akan berniaga kerepek untuk hampir 3 tahun. Tapi, nak kata untung sangat itu tidaklah sebab perlu bayar kos penghantaran dan lain-lain juga,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai jualan nasi lemaknya, Rasidah berkata, beliau sendiri akan membeli barangan asas masakan di pasaraya berhampiran.

“Saya tidak mahulah hanya mengharapkan pertolongan anak saya, tidak dinafikan mereka juga kadang-kala turut membantu saya pergi membeli barangan untuk memasak. Saya akan jual nasi lemak ini di blok-blok perumahan di sini.

“Saya akan masukkan menu masakan dalam kumpulan WhatsApp perumahan dan memandangkan ketika ini sesi persekolahan sudah bermula, makin ramailah yang beli. Kebanyakan pelanggan faham dengan situasi saya, mereka lebih selesa ambil makanan ini di rumah saya,” ujarnya.

Menurutnya, beliau turut bersyukur apabila jualannya, yang sebelum ini hanya dipelajari secara dalam talian, sudah mula diterima pelanggan. Malah, ada antara pelanggannya menempah dalam kuantiti yang banyak.

Rasidah Abd Aziz, 56, turut menggunakan aplikasi WhatApp bagi memudahkan urusan berkomunikasi dengan pelanggan mengenai menu jualannya yang berupa nasi lemak, roti jala dan pelbagai lauk pauk yang lain.

“Kadang-kadang ada yang mahu nasi lemak sebanyak 100 bungkus. Macam sebelum ini pada bulan puasa, saya buat juga bubur lambuk sebab ada yang buat tempahan untuk 100 bungkus. Terpaksalah pinjam periuk lebih besar dari surau,” katanya.

Tambahnya, setiap keuntungan yang diperoleh daripada hasil perniagaan akan disimpan untuk pelbagai kegunaan dan diasingkan mengikut keperluan, seperti untuk kegunaan ubat-ubatan dan bil-bil bulanan.

“Dapat duit ini saya simpanlah sikit-sikit, duit untuk bayar bil elektrik dan air saya asingkan, duit untuk simpanan juga saya asingkan. Maklumlah, dengan saya sendiri sakit dan 2 orang anak lagi ada masalah kesihatan, jadi wang simpanan ini sangat penting buat saya,” katanya.

Ketika ditanya, apakah harapan dirinya buat anak-anaknya, Rasidah berkata, beliau secara peribadi mahu melihat anak-anak terus bahagia, tersenyum dan sebagai seorang ibu beliau juga mahu anak-anaknya mempunyai kehidupan yang lebih baik.

“Saya mahu anak-anak saya mendapat jodoh yang baik, yang dapat menerima mereka seadanya. Anak bongsu saya ini bercita-cita mahu menjadi doktor, mudahan-mudahan dipermudahkan urusannya. Saya mahu anak-anak saya semuanya bahagia,” katanya.