Kelewatan kedutaan asing perakui kerakyatan punca depot tahanan sesak

PETALING JAYA: Kelewatan kedutaan asing memperakui kerakyatan dan mengeluarkan dokumen perjalanan rakyatnya menjadi punca kesesakan di depot tahanan imigresen yang kini dihuni seramai 15,281 warga asing.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata, ia disebabkan faktor kekurangan bukti penentuan taraf kewarganegaraan rakyat asing yang ditahan.

Selain itu, Hamzah berkata, antara cabaran utama lain dalam menguruskan penghantaran pulang warga asing adalah mendapatkan peruntukan bagi membiayai urusan tersebut.

Ini kerana, katanya, secara lazim, kos logistik tahanan yang akan dihantar pulang ke negara asal ditanggung sendiri oleh tahanan, majikan, ahli keluarga, pihak kedutaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Selain itu, kekangan yang dihadapi termasuklah proses pendakwaan yang berlarutan dan keperluan tahanan sebagai saksi bagi kes pendakwaan lain yang sedang berjalan,” katanya di Dewan Rakyat menerusi jawapan bertulis.

Terdahulu, Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) meminta Hamzah menyatakan berapa jumlah terkini warga asing yang berada di depot tahanan dan apakah kekangan yang dihadapi kementerian dalam urusan penghantaran pulang warga asing.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud mendedahkan kerajaan membelanjakan hampir RM3.5 juta sebulan bagi menampung kos makanan pendatang tanpa izin yang ditahan di 14 depot tahanan Jabatan Imigresen di seluruh negara.

Beliau berkata, purata kos makanan yang ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM12 sehari untuk seorang dan kebanyakan mereka terpaksa berada di depot dalam tempoh 1 hingga 2 bulan sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.