Kertas siasatan Al-Jazeera, Rayhan diserah kepada peguam negara, kata polis

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan berkaitan warga Bangladesh Md Rayhan Kabir yang ditemu bual dalam dokumentari Al-Jazeera turut diserahkan untuk tindakan sama.

KUALA LUMPUR: Polis menyerahkan kertas siasatan berkaitan dokumentari yang disiarkan agensi berita Al Jazeera bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” ke Pejabat Peguam Negara petang tadi untuk tindakan lanjut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan berkaitan warga Bangladesh Md Rayhan Kabir, 25, yang ditemu bual dalam dokumentari itu turut diserahkan untuk tindakan sama.

“Kertas siasatan sudah dihantar dan kita tunggu keputusan Pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat itu yang didakwa berniat memburuk-burukkan negara dengan mengecam layanan Malaysia terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani penularan Covid-19.

Susulan itu, polis merakam keterangan 6 kakitangan Al Jazeera dan Rayhan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Selasa lepas, polis turut menggeledah 3 lokasi di ibu negara melibatkan stesen penyiaran Al Jazeera, Astro dan UnifiTV.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud mengesahkan tempoh reman Rayhan disambung 13 hari bermula esok.

Beliau berkata Mahkamah Khas Kes Pendatang Tanpa Izin (PATI) Semenyih, Selangor, membenarkan permohonan reman itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

Rayhan ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu selepas Jabatan Imigresen memohon bantuan orang awam menjejakinya setelah beliau muncul dalam dokumentari Al Jazeera dengan mendakwa pihak berkuasa Malaysia memberi layanan buruk kepada pendatang tanpa izin ketika negara melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) .

Semalam, Khairul Dzaimee memaklumkan bahawa Rayhan akan diusir ke negara asal selepas semua siasatan polis selesai, selain pas lawatan kerjanya ditamat dan disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini selama-lamanya.