Kluster Sivagangga mungkin dari virus ‘super-spreader’, kata Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan jangkitan Covid-19 melibatkan kluster Sivagangga di Kedah berasal dari jangkitan virus “super-spreader” (perebak utama).

Ketua Pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster “super-spreader” berasal dari Mesir dan Pakistan dan kajian mengenainya sedang dijalankan.

“Apa yang kita lihat kluster PUI Sivagangga merebak dengan cepat sekali jika nak dibandingkan dengan 9 kluster lain yang ada di Sarawak dan sebagainya.

“Kajian sedang dijalankan sama ada kita sedang menghadapi kluster ‘super spreader’, iaitu genome 614. Dimaklumkan kepada kementerian ia datang dari Mesir dan Pakistan. Besar kemungkinan ini mungkin kluster ‘super-spreader’.

“Kita kena laksana ujian dengan teliti di makmal untuk melihat virus tersebut,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham berkata, KKM akan meletakkan PUI Sivagangga dalam kategori kumpulan sasar.

“Memang kita masukan PUI Sivagangga dalam kumpulan sasar. Begitu juga 1 lagi kluster di Ulu Tiram, Johor juga ditetakkan dalam kumpulan sasar.

“PUI Sivagangga, kita akan laksanakan saringan tertumpu kepada mereka yang berkunjung ke situ. Mereka terdedah kepada kedai makan tersebut atau berada dalam lingkungan 1km dari kedai tersebut. Kalau ada disyaki terdedah kes tersebut kita akan saring,” katanya.

Kluster Sivagangga menular susulan jangkitan kes import selepas seorang individu yang juga pemastautin tetap pulang ke Malaysia dari India pada 13 Julai lalu (kes ke-8,937).

Beliau yang juga pemilik kedai nasi kandar di Napoh dilaporkan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM yang tidak membenarkan individu dikuarantin keluar dari rumah.

Pemilik kedai makan itu bagaimanapun dilaporkan pergi ke premis berkenaan sebelum jangkitan di kawasan itu berlaku.

Pada 3 Ogos, kira-kira 7,000 penduduk di 4 kawasan di Kedah yang dikaitkan dengan kluster Sivagangga dikenakan perintah PKPD secara pentadbiran hingga 30 Ogos ini.

Keputusan itu dibuat susulan permohonan kerajaan Kedah untuk melaksanakan perintah tersebut dengan mengambil kira 11 kes baru yang berpunca daripada kluster itu membabitkan 4 mukim.

Larangan tersebut membabitkan radius 1 km dari Restoran Nasi Kandar Salleh di pekan Napoh (Mukim Hosba), Kampung Pida Satu di pekan Megat Dewa (Mukim Ah) dan Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjai) yang kesemuanya terletak di daerah Kubang Pasu serta Kampung Ulu di pekan Padang Sanai (daerah Padang Terap).