KPDNHEP jamin harga pelitup muka kanak-kanak tidak lebih mahal daripada pelitup muka dewasa

Menteri KPDNHEP Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya akan berbincang dengan pemain industri bagi memastikan keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai tidak terbeban.

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi hari ini memberi jaminan tidak akan membenarkan harga pelitup muka bagi kanak-kanak dijual dengan harga lebih mahal berbanding pelitup muka digunakan orang dewasa.

Alexander berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan pemain industri bagi memastikan keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai tidak terbeban dengan keputusan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

“Kita ambil maklum, kalau betul harga pelitup muka kanak-kanak ini berlainan, kita akan bincang dengan pemain industri, untuk tidak benarkan harga pelitup muka kanak-kanak berlainan atau lebih daripada had maksimum biasa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab isu dibangkitkan Cha Kee Chin (DAP-Rasah) yang memintanya menurunkan harga siling pelitup muka bagi kanak-kanak memandangkan ia dijual lebih mahal berbanding pelitup muka dewasa dan sukar didapati di pasar raya dalam negara.

Pada masa sama, Alexander turut memberitahu bahawa sudah ada cadangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membenarkan penggunaan pelitup muka yang boleh diguna semula (reusable).

Katanya, perkara itu akan diumumkan kementerian berkenaan dalam masa terdekat.

“Sebenarnya saya diberitahu oleh menteri kesihatan bahawa suda ada cadangan, mungkin belum diumumkan oleh kerana menteri tidak ada masa sewaktu menggulung perbahasan tadi. Kalau ada masa, saya percaya isu ini akan disentuh,” katanya.

Sebelum itu, Charles Anthony Santiago (DAP-Klang) menggesa kementerian supaya meneliti cadangan penggunaan pelitup muka yang boleh digunakan semula, memandangkan harga siling RM1.20 bagi 1pelitup muka boleh membebankan keluarga berpendapatan rendah.

Menjawab persoalan dibangkitkan Noor Amin Ahmad (PKR-Kangar) yang menggesa supaya pelajar sekolah diberikan pelitup muka secara percuma dan diberikan pengecualian cukai, Alexander berkata, ia merupakan cadangan yang baik.

“Bagaimanapun biarlah kita berbincang dengan pihak swasta, mereka mungkin prihatin dengan anak-anak di sekolah kita dan boleh membantu menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) atau ada cara-cara lain,” katanya.

Terdahulu, Alexander memberitahu kementerian akan menurunkan harga siling bagi pelitup muka 3 lapisan, lebih rendah daripada kadar RM1.20 yang ditetapkan sebelum ini.

“Memandangkan kami terima maklum balas dari luar dan juga di Dewan Rakyat ini, kami akan lihat. Berkemungkinan besar, kita akan turunkan pelitup muka 3 lapis itu kepada harga yang lebih rendah daripada RM1.20. Tunggu sedikit masa lagi,” katanya.