Langkah bendung gelombang Covid-19 di Kedah, Sarawak tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-15 hari ini dijangka tertumpu kepada perkara berkaitan langkah kerajaan untuk mencegah berlakunya gelombang baharu Covid-19 di Kedah dan Sarawak.

Menurut aturan urusan mesyuarat, isu berkenaan diajukan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) kepada menteri kesihatan semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan hari ini.

Yii juga ingin tahu mengenai status kes wabak Covid-19 termasuk jumlah ujian saringan yang dijalankan di kedua-dua negeri berkenaan.

Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) pula dijadual bertanyakan menteri pertanian dan industri makanan mengenai mekanisme dan langkah konstruktif yang dirangka kerajaan bagi meningkatkan sekuriti makanan terutamanya ketika menghadapi krisis seperti bencana wabak.

Seterusnya, sidang Dewan Rakyat akan menyambung penggulungan perbahasan menjunjung titah Agong yang dijangka melibatkan 6 kementerian antaranya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.