Malaysia tolak permohonan visa kakitangan warga Australia, kata Al Jazeera

Stesen media berpangkalan di Qatar itu disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia berhubung dokumentari bertajuk ‘Locked up in Malaysia’s Lockdown’.

PETALING JAYA: Stesen media Al-Jazeera berkata hari ini bahawa pihak berkuasa Malaysia enggan memperbaharui visa kerja 2 wartawan warga Australia beberapa hari selepas pejabat rangkaian itu di Kuala Lumpur diserbu oleh polis.

Rangkaian berpangkalan di Qatar itu disiasat berkait dokumentari bertajuk “Locked up in Malaysia’s Lockdown” yang mengkritik layanan kepada pekerja asing sewaktu penularan wabak Covid-19.

Susulan dokumentari itu, pihak berkuasa menyoal siasat kakitangan Al-Jazeera bulan lepas. Polis merampas 2 komputer dari pejabat agensi berita itu pada Selasa.

Pengarah urusan Al-Jazeera English Giles Trendle dalam satu kenyataan mengesahkan Malaysia enggan memperbaharui visa kerja kakitangannya Drew Ambrose dan Jenni Henderson.

Giles Trendle.

Syarikat itu bagaimanapun tidak memberitahu maklumat lanjut pada masa ini, sementara pegawai Jabatan Imigresen tidak dapat dihubungi untuk komen.

Dalam temu bual pada Rabu, Ketua Polis Negara Abdul hamid Bador berkata, siasatan dijalankan “secara profesional”.

Pihak berkuasa juga mengambil langkah menghantar pulang seorang warga Bangladesh kerana bercakap dalam dokumentari berkenaan.

Malaysia menganggap program berkenaan memburukkan imej negara.

Ratusan ribu migran dari negara lebih miskin di rantau ini termasuk Bangladesh, Indonesia dan Myanmar datang ke Malaysia untuk mencari prospek pekerjaan lebih baik.