Minyak zaitun juga anugerah Tuhan, Teresa persoal slogan baru kempen minyak sawit

Bekas menteri industri utama Teresa Kok mempersoal penukaran slogan kempen minyak sawit oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang baru Mohd Khairuddin Aman Razali.

PETALING JAYA: Bekas menteri industri utama Teresa Kok hari ini mempertikaikan slogan “Sawit Anugerah Tuhan” yang diperkenalkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam usaha meningkatkan jualan minyak sawit negara ke peringkat global.

Teresa berkata, slogan “Sawit Anugerah Tuhan” tidak memberi gambaran khusus mengenai ciri-ciri sawit Malaysia, yang menurutnya memberikan hasil yang terbaik.

“Kenapa tukar kepada slogan “Sawit Anugerah Tuhan”, minyak jenis mana yang bukan anugerah Tuhan? Minyak zaitun adalah anugerah Tuhan, minyak bunga matahari juga anugerah Tuhan. Semua ini adalah anugerah Tuhan dan apa yang ada di dunia ini adalah anugerah Tuhan.

“Jadi, bila tukar nama kepada ‘Sawit Anugerah Tuhan’, orang akan tanya bukankah minyak zaitun juga anugerah Tuhan?

“Pada pandangan saya, macam kita lihat slogan kementerian pelancongan, ‘Malaysia Truly Asia’, kita lihat berapa ramai menteri bertukar, tetapi slogan ini masih kekal.

“Saya rasa tidak perlu apabila tukar kerajaan, tukar menteri, kita tukar kempen. Kempen itu digunakan untuk kementerian dan bukannya slogan saya.

“Ramai tidak faham kenapa, hanya kerana menteri dari PAS, semua hendak kaitkan dengan Tuhan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali bagaimanapun mempertahankan keputusan mengubah slogan berkenaan, yang menurutnya merupakan penambahbaikan kepada slogan diperkenalkan oleh Teresa sebelum ini, iaitu “Sayangi Minyak Sawitku”.

“Slogan digunakan sebelum ini adalah ‘Sayangi Minyak Sawitku’, kenapa tidak gunakan ‘Sayangi Kokoku’, kenapa hanya minyak sawit?

“Tidak bermakna bila saya gunakan ‘Sawit Anugerah Tuhan’, ia menafikan kebaikan getah dan lain-lain.

“Kita mahu bergerak ke hadapan, sawit memang anugerah Tuhan dan ia merujuk kepada banyak kelebihan sawit. Kita juga mahu mencari pasaran baru seperti di Afrika Selatan dan Timur Tengah. Jadi boleh kurangkan pergantungan kepada Eropah,” katanya.

Khairuddin turut meminta diberikan tempoh 6 bulan bagi membuktikan kejayaan kempen berkenaan memandangkan pada ketika ini, masih terlalu awal untuk memberikan sebarang kritikan atau pandangan berhubung perkara itu.

“Tunggu hingga hujung tahun. Ini adalah slogan baru untuk memajukan sawit, kita akan lihat hasilnya dalam tempoh 6 bulan lagi,” katanya.