Pengangguran wanita: Puteri Umno cadang elak pecat ikut ‘gender’

Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan berkata, pemberhentian pekerja harus dilakukan berdasarkan prinsip ‘last-in-first-out’ tanpa mengira gender seperti yang diterima pakai di peringkat antarabangsa.

PETALING JAYA: Puteri Umno meminta kerajaan memandang serius masalah pengangguran, khususnya yang membabitkan golongan wanita.

Ketuanya Zahida Zarik Khan berkata, golongan itu merupakan kumpulan tertinggi terjejas kesan penularan wabak Covid-19.

“Ia kesan daripada penutupan operasi sebahagian besar perniagaan semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan, selain faktor kesukaran mendapatkan pekerjaan.

“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, pada Mei kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 5.3% atau 826,100 penganggur, iaitu kadar tertinggi sejak tahun 1989.

“Wanita antara yang terkesan teruk apabila dilaporkan 72.2% yang kehilangan pekerjaan sehingga hari ini adalah golongan itu, terutamanya akibat penularan wabak covid-19.

“Ini statistik yang amat membimbangkan,”katanya.

Zahida berkata, sayap itu menyarankan beberapa langkah kepada kerajaan dan majikan bagi memastikan nasib kumpulan itu tidak menjadi lebih parah.

Katanya, pemberhentian pekerja harus dilakukan berdasarkan prinsip “last-in-first-out” (LIFO) tanpa mengira gender seperti yang diterima pakai di peringkat antarabangsa.

“Jika pemberhentian perlu dilakukan juga, maka langkah pengambilan kerja alternatif harus difikirkan dahulu sebelum pemberhentian dibuat.

“Mereka (pekerja) perlu diberitahu tentang peruntukan kerajaan yang sedia ada untuk “latihan semula” yang menyediakan bidang baru yang boleh diceburi,” katanya.

Beliau juga mencadangkan penubuhan pusat khas untuk menerima aduan dengan tujuan membantu kumpulan yang hilang pekerjaan.

“Perlu juga diberi perhatian tentang berapa ramaikah dalam kalangan mereka terdiri daripada wanita ‘ketua isi rumah’ seperti ibu tunggal atau mereka yang menyara ibu bapa dan ahli keluarga,” katanya.

Zahida mengakui dalam situasi ekonomi yang serba mencabar kini, banyak majikan, terutamanya dalam bidang perniagaan terpaksa “membuang pekerja”.

“Diharap pihak kerajaan mempertimbangkan langkah yang dicadangankan supaya kita dapat membantu mereka,” katanya.