Petronas jamin 7 anak syarikat bayar cukai jualan negeri kepada Sarawak

Menteri muda di Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, keputusan menarik balik rayuan oleh Petronas dan kerajaan negeri menandakan penyelesaian kepada isu tuntutan cukai jualan negeri.

KUCHING: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah memberi jaminan bertulis bahawa Cukai Jualan Negeri (SST) akan dibayar oleh 7 anak syarikatnya, termasuk Petronas Carigali Sdn Bhd yang terlibat secara langsung dalam penjualan produk petroleum di Sarawak.

Menteri muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, dalam kenyataan hari ini berkata, anak-anak syarikat ini dikenal pasti oleh Petronas dalam proses pendaftaran dengan pengawal selia SST sebagai orang kena cukai yang akan bertanggungjawab membayar SST kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, proses pendaftaran tersebut dijangka selesai menjelang 15 Ogos ini.

“Pengawal selia SST kini membuat penilaian jumlah SST yang perlu dibayar oleh setiap anak syarikat Petronas bagi tahun 2019 berdasarkan rekod jumlah produk petroleum sebenar dijual oleh mereka dan pengisytiharan nilai penjualannya disediakan oleh anak syarikat tersebut.

“Penilaian sedemikian akan dibuat oleh pengawal selia dengan ketat selaras dengan peruntukan Ordinan Cukai Juala Negeri 1998 dan Peraturan Cukai Jualan Negeri 1998 tanpa diskaun atau pengecualian akan diberikan,” katanya.

Sharifah Hasidah Sayeed Aman

Hasidah berkata, kerajaan negeri dan pengawal selia SST menarik balik saman yang difailkan terhadap Petronas untuk mendapatkan kembali SST bagi tempoh Januari hingga Jun 2019 berjumlah hampir RM1.3 bilion, termasuk denda lewat pembayaran dan faedah.

Isnin lalu, Petronas menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum.

Kerajaan Sarawak, pada masa sama, juga menarik balik rayuan balas berhubung isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi mengenai SST.

Panel 3 hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Abdul Karim Abdul Jalil, Hadhariah Syed Ismail dan Mohd Sofian Abd Razak membatalkan rayuan dan rayuan balas serta memerintahkan setiap pihak menanggung kos masing-masing.

Hasidah berkata, keputusan menarik balik rayuan masing-masing oleh Petronas dan kerajaan negeri menandakan penyelesaian kepada isu tersebut.

”Kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan lagi Petros (Petroleum Sarawak Berhad) dan penduduk Sarawak serta penglibatan syarikat Sarawak dalam sektor minyak dan gas dengan kolaborasi bersama Petronas,” katanya.