Petronas perlu bertanggungjawab kepada Dewan Rakyat, bukan hanya PM, kata ahli Parlimen

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, PAC hanya boleh membuat permohonan jika mahu Petronas disiasat. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Subang Wong Chen menyatakan kekecewaannya atas keputusan Putrajaya tidak meminda Akta Pembangunan Petroleum untuk menjadikan Petronas bertanggungjawab kepada Parlimen.

“Berkali-kali, kita tahu Petronas diminta untuk melakukan ‘khidmat nasional’, kadang-kadang disebabkan oleh kurangnya disiplin fiskal dan sikap Kabinet yang boros,” katanya pada sidang media.

“Apabila ia terjadi, Petronas perlu bertanggungjawab kepada Parlimen dan ahli Parlimen sepatutnya mempertahankan Petronas daripada segala permintaan dana yang tidak menguntungkan daripada Kabinet,” katanya.

Beliau berkata Petronas tidak perlu mendedahkan semua perkara kepada Parlimen kerana Jawatankuasa Pilihan Khas boleh dilantik dan menandatangani perjanjian menyimpan rahsia.

Petronas tidak boleh bertanggungjawab kepada perdana menteri sahaja.

Kata Wong, beliau telah bertanyakan perdana menteri apakah kerajaan akan meminda akta tersebut untuk mengekang kuasa yang berlebihan diberikan kepada perdana menteri.

Menerusi jawapan bertulis Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed hanya menjelaskan bahawa syarikat minyak nasional diuruskan oleh eksekutif dan lembaga pengarah terbaik.

Ketika ditanya sama ada Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) boleh menyiasat Petronas kerana ia pernah menyiasat Khazanah Nasional Bhd tahun lepas, Wong berkata, PAC hanya boleh membuat permohonan itu.

“Undang-undang jelas menyatakan Petronas hanya bertanggungjawab kepada perdana menteri. Mereka tidak bertanggungjawab (kepada PAC).

“Saya juga tidak tahu sama ada eksekutif dan pengarah Petronas bersedia mengetepikan kuasa perdana menteri dan berurusan dengan kami (ahli Parlimen) secara langsung.”