Shafie mahu saringan Covid-19 perlu diperluaskan di Sabah
Katanya, saringan harus dilakukan secara rawak kepada semua lapisan masyarakat dan bukan hanya golongan yang dikenalpasti berisiko.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal menggesa pihak berwajib memperluaskan liputan saringan Covid-19 berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan di Sabah baru-baru ini.
Katanya, saringan harus dilakukan secara rawak kepada semua lapisan masyarakat dan bukan hanya golongan yang dikenalpasti berisiko.
“Sekiranya perlu, ujian saringan Covid-19 di pintu-pintu masuk melalui udara, laut dan darat ke Sabah hendaklah dikuatkuasakan semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shafie berkata, analisa terhadap statistik penularan pandemik Covid-19 di Sabah menunjukkan peningkatan kes yang mendadak bermula pada 24 Julai.
Katanya, laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menunjukkan bilangan kumulatif kes positif pada 25 Julai adalah 384 kes dan meningkat sebanyak 18 kes iaitu kepada 402 pada 4 Ogos.
“Bilangan kes positif Covid-19 yang masih dirawat di hospital untuk tempoh ini meningkat 4 kali ganda iaitu daripada 4 kes kepada 16 kes.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Kerajaan negeri memandang serius peningkatan kes positif ini dan khuatir penularan pandemik akan terus meningkat sekiranya tindakan kawalan tidak diperketatkan,” katanya.