Tiada pilihan raya di Pulau Pinang, walaupun jika PM isytihar, kata KM

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan memantau perkembangan politik secara dekat berkait desas-desus pembubaran Parlimen.

GEORGE TOWN: Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membuka jalan kepada pilihan raya walaupun sekiranya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan pilihan raya umum, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini.

“Kebanyakan kerajaan negeri hanya berusia kira-kira 2 tahun dan tidak ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya, melainkan Sabah kerana keadaan di negeri itu.

“Kita akan memantau keadaan secara dekat dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya yang jarang memberi komentar mengenai perkembangan politik.

Chow diminta memberi komen berhubung desas-desus bahawa Muhyiddin akan meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

Bercakap mengenai kemungkinan Dewan Rakyat dibubarkan Chow berkata, pilihan raya mengejut boleh diadakan serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) di Sabah atau selepas gabungan pemerintah, Perikatan Nasional (PN) berjaya mengatasi masalah dalamannya.

“Banyak faktor perlu dipertimbangkan (untuk mengadakan pilihan raya). Krisis Covid-19, penamatan insentif yang mungkin mencetuskan ketidakseimbangan ekonomi, kehilangan pekerjaan dan perniagaan sudah pasti merupakan keadaan yang tidak memihak kepada pilihan raya.

“Keadaan politik (semasa) negara juga boleh dianggap tidak stabil susulan kekalutan dalam kalangan parti komponen PN,” katanya, selain menambah bahawa Umno kelihatan berdepan tugas sukar dalam isu pengagihan kerusi dengan rakan gabungannya.

Ketika ditanya mengenai penglibatan DAP di Sabah dan Sarawak, Chow berkata, mereka menunggu nasihat rakan kongsi politik tempatan di negeri terbabit.

“Rakyat Sabah dan Sarawak mahu parti tempatan memainkan peranan lebih besar dalam hal-ehwal tempatan. Berhubung keputusan DAP bertanding di sana, ia bergantung pada rakan kongsi kami.

“Politik adalah seni kemungkinan. Kami perlu berada dekat dengan keadaan sebelum membuat keputusan akhir.”