Tommy Thomas syor selesai kes Goldman Sachs luar mahkamah, kata menteri kewangan

Bekas peguam negara Tommy Thomas mahu hutang 1MDB dengan bank pelaburan Goldman Sachs diselesaikan di luar mahkamah.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz hari ini mendedahkan bahawa bekas peguam negara Tommy Thomas pernah mensyorkan kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk membuat penyelesaian luar mahkamah berhubung hutang 1MDB dengan bank pelaburan Goldman Sachs.

Zafrul berkata, berdasarkan surat bertarikh 11 Februari lalu, Tommy pernah mensyorkan kepada Dr Mahathir supaya mencari penyelesaian luar mahkamah selepas Goldman Sachs bersetuju untuk menaikkan tawaran penyelesaian kepada AS$1.75 bilion.

“Jumlah ini termasuk bayaran cukai sebanyak AS$164 juta dan pemulangan bayaran sebanyak AS$567 juta. Syor diberikan mantan peguam negara adalah untuk mencari penyelesaian luar mahkamah.

“Ini bercanggah dengan dakwaan beliau bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya menerima penyelesaian luar mahkamah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Zafrul turut mendedahkan bahawa pihaknya mempunyai rekod menunjukkan pada 13 Disember tahun lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menawarkan penyelesaian AS$4 bilion kepada Goldman Sachs, tetapi tawaran ini ditolak, sebaliknya hanya ditawarkan AS$1.5 bilion.

Beliau memaklumkan bahawa pada Julai Goldman Sachs bersetuju membayar AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) bagi penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan dengan 3 urus niaga bon membabitkan skandal 1MDB.

Manakala itu, jumlah penyelesaian dan wang yang diterima oleh Malaysia daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) adalah lebih AS$4.5 bilion (RM19.14 bilion).