Covid-19: 25 kes baru, 12 daripadanya kluster Sivagangga

PETALING JAYA: Sebanyak 25 kes baru Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 15 pesakit sembuh hari ini.

Jumlah kematian kekal 125 orang kerana tiada kematian dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 2 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Katanya, setakat ini Malaysia merekodkan 9,063 kes Covid-19 dengan 8,728 daripadanya sembuh dan 210 pesakit kini dirawat di hospital di seluruh negara.

Beliau berkata, daripada 25 kes baru 9 adalah kes import.

“Ingin dimaklumkan daripada 25 kes baru yang dilaporkan, 9 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara membabitkan 8 warga Malaysia dan 1 bukan warganegara,” katanya.

Katanya, daripada 16 kes penularan dalam negara, 15 kes dalam kalangan warga Malaysia dan 1 kes bukan warganegara.

12 jangkitan baru kluster Sivagangga

Menurutnya, daripada 16 kes penularan dalam negara 12 daripadanya adalah kluster Sivagangga.

“Perincian kes penularan Covid-19 dalam negara dalam kalangan warga Malaysia adalah 10 kes di Perlis membabitkan jangkitan kluster PUI Sivagangga, masing-masing 1 kes di Kedah dan Pulau Pinang juga daripada kluster PUI Sivagangga.

“Di Perak 2 kes membabitkan kes influenza like illness (ILI) di klinik sentinel dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1 kes saringan bergejala. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Katanya, jangkitan dalam negara yang membabitkan 1 kes bukan warganegara pula adalah saringan tahanan yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Johor.