Air di empangan Teluk Bahang hanya mampu bertahan 60 hari

Ketua Pegawai Operasi (CEO) PBA Jaseni Maidinsa berkata empangan Teluk Bahang membekalkan air bagi kawasan pelancongan Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan Teluk Bahang.

GEORGE TOWN: Paras air luar biasa rendah di empangan Teluk Bahang disebabkan cuaca kering ketika ini membolehkan ia hanya mampu bertahan kira-kira 60 hari untuk membekalkan air ke kawasan sekitarnya, kata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA).

Dengan paras air menurun sehingga 19,2%, PBA menyalurkan air terawat melalui paip dasar laut dari Butterworth untuk memenuhi permintaan.

Empangan itu membekalkan air bagi kawasan pelancongan Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan Teluk Bahang.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Operasi (CEO) PBA Jaseni Maidinsa berkata, keadaan terkawal di empangan Mengkuang di Bukit Mertajam dan loji rawatan air di Sungai Dua, yang mana bekalan air mencukupi untuk disalurkan ke seluruh negeri buat masa ini.

Katanya, namun jika cuaca kering berterusan situasi akan menjadi lebih buruk dan orang ramai perlu menggunakan air sebaiknya.

Jaseni berkata, jumlah taburan hujan di kawasan berhampiran Teluk Bahang menurun sebanyak 40% kepada 4,466mm antara 1 Ogos 2019 hingga 31 Julai tahun ini, berbanding 6,411mm dicatatkan di kawasan sama 2 tahun sebelumnya.

Katanya, empangan itu salah 1 yang terbesar di Pulau Pinang, pernah mencatat kapasiti purata 92.1% dari 2017 hingga 2019.

Katanya, kerajaan negeri akan melakukan pembenihan awan di daerah terbabit dan jika paras air turun lebih rendah, PBA akan melaksanakan langkah kecemasan.